
KUALA LUMPUR: Empat sektor iaitu perladangan, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan dijangka menerima rangsangan positif selepas Indonesia menarik balik pembekuan pengambilan pekerja asing bermula hari ini.
Penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng Lee Fang, berkata kata putus yang dicapai daripada pembekuan sementara pekerja asing Indonesia akan membolehkan pengambilan semula pekerja asing dalam tempoh beberapa bulan akan datang bagi mengurangkan isu kekurangan tenaga kerja semasa.
"Pengumuman ini akan menjadi rangsangan positif kepada sektor perladangan, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan di Malaysia kerana ia akan membantu meningkatkan produktiviti dan keuntungan masa hadapan perniagaan," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Lee Fang berkata, bagi sektor perladangan, pengambilan pekerja ladang dari Indonesia adalah penting untuk meningkatkan hasil buah tandan segar (BTS), meningkatkan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dan mengurangkan kos pengeluaran ladang di Malaysia.
"Indonesia menarik balik sekatan pengambilan pekerja Indonesia mulai 1 Ogos 2022 dan bersetuju untuk menyepadukan sistem sedia ada antara Jabatan Imigresen Malaysia dan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur untuk pengambilan pekerja domestik Indonesia.
"Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, penyepaduan sistem ini akan bertindak sebagai saluran tunggal untuk pengambilan dan kemasukan pembantu rumah ke Malaysia seperti yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman (MOU) sebelum ini.
"Projek perintis akan dilaksanakan untuk tempoh tiga bulan sebaik penyepaduan sistem selesai untuk memastikan pelaksanaan sistem satu saluran berjalan lancar," katanya.
Akhir bulan lalu, media melaporkan bahawa kerajaan Indonesia bersetuju menarik semula sekatan kemasukan tenaga kerjanya ke negara ini, berkuat kuasa hari ini.
Ia selepas kedua-dua negara bersetuju untuk mengintegrasikan sistem sedia ada, antara Jabatan Imigresen dan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) bagi pengambilan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) dan Tenaga Kerja Indonesia (TKI).
Saravanan dalam satu kenyataan berkata, persetujuan itu dicapai dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama antara Malaysia dan Indonesia yang digariskan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung PDI.
Pada 13 Julai lalu, Indonesia memaklumkan mengenai keputusan membekukan sementara kemasukan semua pekerja negara itu ke Malaysia kerana tidak menggunakan sistem tunggal seperti yang dipersetujui sebelumnya.
Ini berikutan Jabatan Imigresen terus menggunakan System Maid Online (SMO) dalam urusan permohonan pembantu rumah warga asing oleh majikan, biarpun kedua-dua negara bersetuju menggunakan satu saluran iaitu OCS menerusi MoU PDI, yang dicapai pada April lalu.
Sumber: Berita Harian