top of page

Empangan seluruh dunia hilang 25 peratus simpanan menjelang 2050


Empangan
Gambir diambil menggunakan dron menunjukkan pintu air Guzelce di empangan Alibeykoy di Istanbul, Turkiye, yang kadar penyimpanan air susut teruk sehingga hampir kering akibat kemarau. - Foto EPA

Empangan

SHANGHAI: Kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mendedahkan, hampir 50,000 empangan besar di seluruh dunia dijangka akan kehilangan lebih 25 peratus keupayaan penyimpanan air menjelang 2050.


Menurut kajian Universiti PBB, pengurangan itu berlaku akibat pembentukan mendapan sekali gus mengancam keselamatan air dan tenaga global.


Katanya, kapasiti empangan dijangka susut daripada 6 trilion meter padu kepada 4.655 trilion meter padu menjelang 2050, dan tindakan mesti diambil untuk menangani masalah itu serta melindungi infrastruktur penyimpanan penting.


Kelodak terkumpul di dalam takungan akibat gangguan aliran air semula jadi boleh menyebabkan kerosakan pada turbin hidroelektrik dan menghentikan.


Ia juga menghalang aliran mendapan di sepanjang sungai juga boleh menjadikan kawasan hulu lebih terdedah kepada risiko banjir dan menghakis habitat di hiliran sungai.


Kajian PBB itu melihat data daripada lebih 47,000 empangan di 150 negara dan berkata 16 peratus daripada kapasiti asal sudah pun hilang.


Katanya, Amerika Syarikat (AS) menghadapi kerugian sebanyak 34 peratus menjelang 2050, dengan Brazil dianggarkan mengalami kerugian 23 peratus serta India, 26 peratus dan China 20 peratus.


Pengarah Institut Air, Alam Sekitar dan Kesihatan Universiti PBB dan salah seorang pengarang kajian, Vladimir Smakhtin, berkata pembinaan empangan di seluruh dunia sudah berkurangan dengan ketara, dengan kira-kira 50 setahun kini dibina, berbanding 1,000 pada pertengahan abad yang lalu.


"Saya berhujah bahawa soalan yang kita patut tanya sekarang ialah apakah alternatif kepada empangan - termasuk dalam penjanaan kuasa - memandangkan ia sedang dihentikan secara berperingkat," katanya.


China terus menyekat sungai-sungai utama bagi penghasilan kuasa hidro bertujuan untuk mengurangkan penggunaan bahan api fosil dan mengawal pelepasan gas rumah hijau.


Bagaimanapun, projek seperti empangan Three Gorges - kemudahan hidroelektrik terbesar di dunia - sudah pun mengganggu aspek sosial dan alam sekitar.


Menurut penyelidikan Reuters tahun lalu, empangan yang dibina oleh China di sungai Mekong juga mengganggu aliran mendapan ke negara hiliran, mengubah landskap dan menjejaskan mata pencarian berjuta-juta petani.


Sumber: Berita Harian


3 views
bottom of page