top of page

ECRL: MRL dan CCCC tanggung kos operasi, penyelengaraan


Gambar Hiasan

PUTRAJAYA - Kos operasi dan penyelenggaraan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan dibahagikan secara sama rata antara Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC).


Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, CCCC telah bersetuju untuk membahagikan kos operasi dan penyelenggaraan ECRL melalui syarikat usaha sama (JV) yang akan ditubuhkan.


"Ini bermakna, MRL akan membayar sebanyak 50 peratus dan CCCC juga 50 peratus untuk kos operasi dan penyelengaraan.


"CCCC juga akan menyediakan sokongan teknikal dan perkongsian risiko operasi dengan MRL selepas tarikh siap ECRL. Perjanjian ini juga mengurangkan beban kepada negara yang sebelum ini terpaksa menanggung keseluruhan kos operasi dan penyelenggaraan," katanya pada sidang akhbar di Perdana Putra di sini hari ini.


Kosmo! Online baru-baru ini melaporkan ECRL akan disambung semula pada kos yang lebih rendah susulan permeteraian perjanjian tambahan (SA) antara MRL dan CCCC.


Kos pembinaan Fasa 1 dan 2  ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.


Pengurangan kos itu akan memberi manfaat kepada Malaysia dan meringankan beban kewangan negara.


Projek ECRL dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dan digantung tahun lepas oleh kerajaan Pakatan Harapan yang baru dipilih berikutan kosnya yang tinggi.


Mengulas lanjut mengenai aspek operasi dan penyelengaraan ECRL, Mahathir berkata, Malaysia dapat memanfaatkan kepakaran CCCC di negara ini sekali gus dapat meningkatkan kemajuan dalam jangka panjang.


Jelasnya, selain itu, penglibatan kontraktor tempatan dalam projek itu juga meningkat kepada 40 peratus untuk kerja-kerja sivil berbanding hanya 30 peratus pada perjanjian awal.


"Melalui perjanjian baharu ini, sebanyak RM3.1 bilion bayaran pendahuluan awal telah dipulangkan semula oleh CCCC kepada MRL.


"Sebanyak RM500 juta akan dipulangkan dalam tempoh seminggu bermula Jumaat lalu dan RM500 juta lagi dalam tempoh sebulan dari sekarang dengan jumlah keseluruhan RM1 bilion," katanya.


Sumber: Kosmo!


31 views
bottom of page