top of page

ECRL: Libatkan kontraktor kecil, tempatan


YANG Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Pahang, Abdul Gapar Lambak

KUANTAN 14 April - Kerajaan Pusat diharap memberi ruang dan peluang kepada kontraktor kecil dan tempatan selepas memutuskan untuk meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).


Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) negeri, Abdul Gapar Lambak berkata, selain kesan ekonomi kepada penduuk, pelaksanaan projek berkenaan diharap turut dinikmati terutama oleh pembekal dan kontraktor tempatan.


“Kontraktor tempatan khasnya kontraktor kecil harus dilibatkan secara lansung dalam kerja-kerja pembinaan mengikut kepakaran dan kemampuan masing-masing.


“Selain itu, kita juga mencadangkan agar agihan projek projek kecil dilaksanakan secara undian,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.


Abdul Gapar berkata, kontraktor utama, China Communications Construction Co Ltd. (CCCC) harus disarankan supaya menggunakan bahan-bahan binaan tempatan di samping melibatkan kontraktor bumiputera tempatan.


Dalam pada itu, beliau berkata, PKMM negeri menyambut baik dan mengalu-alukan keputusan kerajaan Persekutuan meneruskan pelaksanaan projek ECRL.


“Keputusan itu tepat kerana pembatalan projek tersebut akan mengundang pelbagai implikasi dan satu pembaziran untuk membayar pampasan begitu sahaja.


“Kajian semula harga sehingga dapat melakukan penjimatan RM21.5 bilion dengan mengubah beberapa jajaran dan mengurangkan beberapa stesen serta jarak merupakan tindakan bijak dan bersesuaian dengan keadaan kekangan kewangan negara,” ujarnya.



47 views
bottom of page