top of page

ECRL: Jangan lupa rakyat sendiri


Gambar Hiasan

KEPUTUSAN kerajaan meneruskan semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang digantung pelaksanaannya sejak tahun lalu sudah tentu melegakan banyak pihak terutama mereka yang terlibat secara langsung dengan projek mega ini. Tidak kisahlah kalau ada yang mahu menuduh ini satu lagi tindakan 'pusingan U' kerajaan pada hari ini. Pengumuman ini sesuatu yang ditunggu-tunggu setelah tergantung sejak tahun lalu akibat pertikaian berhubung dengan kos sebenar.


Projek ini diteruskan dengan kos pembinaan baha­ru sebanyak RM44 bilion iaitu pengurangan sebanyak RM21.5 billion berbanding kos asal RM65.5 bilion. Bagaimanapun jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer (km) iaitu sepanjang 648 km.


Beberapa buah stesen seperti Gombak dan Bentong digugurkan dan dimasukkan jajaran baharu iaitu di Jelebu, Negeri Sembilan.


Ketika dihentikan, projek ini sudah 20 peratus berjalan. Tapak-tapak pembinaan ditinggalkan dan terbiar begitu sahaja. Banyak kontraktor dan subkontraktor terlibat menanggung kerugian dan sebahagiannya sudah gulung tikar. Bukan sedikit yang kehilangan pekerjaan dalam sekelip mata. Daripada pekerja bawahan sehingga kepada pekerja mahir dan profesional seperti jurutera, konsultan dan pekerja profesional lain.


Setelah sekian lama berada dalam ketidakpastian, keputusan yang diumumkan kelmarin seakan memberikan satu sinar baharu. Doa mereka dimakbulkan Tuhan. Dalam keadaan ekonomi negara yang bergerak perlahan sebagaimana berlaku di seluruh dunia, ECRL sudah tentu menjadi satu suntikan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara. Ketika semua orang bercakap mengenai isu kos sara hidup yang semakin menekan dengan peluang pekerjaan baharu yang sangat terhad, projek mega ini bakal mengubah suasana ekonomi dan kehidupan rakyat bukan sahaja di sepanjang jajaran tetapi seluruh negara. Kontraktor-kontraktor tempatan termasuk kontraktor bumiputera begitu gembira dengan berita tersebut.


Sambil-sambil itu mereka berharap dapatlah `merasa’ sedikit kalaupun tidak banyak ‘keenakan kek’ projek ECRL ini. Sekurang-kurangnya adalah peluang bagi mereka untuk turut serta mengambil bahagian. Barangkali sudah lama mereka berada dalam keadaan tertekan.


Tidak ada atau tidak banyak projek baharu malah boleh dikatakan tidak ada langsung. Kalaupun ada satu dua yang kecil-kecil semua orang berebut-rebut. Lantas mereka merasakan projek mega ini merupakan peluang terbaik kepada syarikat-syarikat tempatan untuk mengambil bahagian, mempelajari dan menimba pengalaman terutama dalam aspek pemindahan teknologi yang dijangka berlaku secara besar-besaran. Alangkah malangnya jika mereka terus terlepas peluang untuk turut serta dalam pembangunan projek raksasa ini.


Rakyat kebanyakan turut berharap perkara yang sama. Peluang pekerjaan sangat terhad sedangkan setiap tahun beratus ribu graduan keluar daripada universiti terutama dalam bidang kejuruteraan dan teknikal. Ini belum lagi dicampur lepasan pusat-pusat latihan teknikal dan kemahiran yang mengambil kursus berkaitan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET). Projek pembinaan rel yang bermula di Pelabuhan Klang dan berakhir di Kota Bharu dengan 19 stesen ini sudah tentu membuka dan menyediakan banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang. Inilah peluang keemasan bagi warganegara dan rakyat setempat daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk mencuba nasib.


Dalam hal ini kerajaan perlu beringat dan mengambil serius perkara ini. Janganlah mengulangi lagi apa yang pernah berlaku sebelum ini. Nama sahaja projek pembangunan mega di tanah air sendiri tetapi semua pelaksana yang terlibat adalah `pekerja import’ yang hidup dalam koloni tertutup sehingga menimbulkan prasangka dan curiga masyarakat setempat. Percayalah apabila meletus sahaja berita projek ECRL akan disambung semula kelmarin, sudah ramai orang luar berkira-kira mahu ‘melancong’ ke negara ini!



285 views
bottom of page