ECRL dilancar semula, jajaran sepanjang 640km


PROJEK Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang kini bernilai RM44 bilion dilancarkan semula kerja-kerja pembinaannya dengan memberi keutamaan kepada kerja-kerja pembinaan terowong dan jambatan terutamanya di jajaran yang merentasi Dungun di Terengganu sehingga Mentakab di Pahang ketika tinjauan di Tapak Terowong Dungun, Bukit Bauk. - Foto BERNAMA

DUNGUN: Selepas sembilan bulan tertangguh, projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM44 bilion dilancarkan semula hari ini, dengan 214 kontraktor tempatan yang terbabit dalam projek itu sebelum ini akan meneruskan pembinaannya.


Projek ECRL ini memberi keutamaan kepada kerja pembinaan terowong dan jambatan, terutama di jajaran merentasi Dungun, Terengganu, sehingga Mentakab di Pahang.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata projek ECRL yang ditambah baik kini merangkumi jajaran sepanjang 640 kilometer dengan 417 kilometer atau 65.2 peratus daripadanya mengalami perubahan jajaran dari Kota Bharu ke Dungun dikenali sebagai Seksyen A dan jajaran baharu keseluruhan dari Mentakab ke Pelabuhan Klang dikenali sebagai Seksyen C.


“Jajaran ECRL dari Dungun ke Mentakab pula yang dikenali sebagai Seksyen B sepanjang 223 kilometer adalah 34.8 peratus daripada keseluruhan jajaran ECRL yang tidak terbabit dengan sebarang perubahan,” katanya selepas majlis pelancaran semula projek ECRL di tapak terowong Dungun, di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri dan dilancarkan bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abd Razak.


Loke berkata, perubahan jajaran itu dilakukan berikutan faktor kos dan tanah tidak sesuai untuk pembangunan ECRL.


Beliau berkata, tiga terowong akan dibina dalam projek itu iaitu Terowong Dungun di Bukit Bauk sepanjang 871 meter, Terowong Paka (1,104 meter) dan Terowong Kuantan sepanjang 2,286 meter yang turut melalui kawasan Jabor, Terengganu.


Katanya, fokus utama bertumpu kepada reka bentuk dan kerja fizikal bagi pembinaan terowong sepanjang 14.13 kilometer di 23 lokasi serta kerja awalan untuk jambatan sepanjang 39.03 kilometer di 65 lokasi di sepanjang 223 kilometer jajaran dari Dungun ke Mentakab, yang tidak mengalami perubahan jajaran.


Mengulas pengurangan stesen daripada lapan kepada enam di Terengganu, Loke berkata, ia tidak seharusnya dilihat sebagai masalah, tetapi manfaat bakal diperoleh menerusi projek berkenaan patut diberi lebih perhatian.


“Perkara membabitkan penambahan stesen memerlukan perbincangan lanjut dua kerajaan, Malaysia dan China, ia bukan boleh dilakukan begitu saja.


“Kita jangan melihat kepada jumlah stesen, tetapi lihat kepada bagaimana kita menambah nilai projek bagi manfaat ekonomi, pelaburan dan pembangunan di kawasan jajaran.


“Stesen dikurangkan itu tidak membabitkan ramai penumpang dan jika kita nampak keperluan menambah stesen pada masa depan kita boleh bina kemudian,” katanya.


Projek ECRL yang baharu akan melalui 20 stesen dengan 14 stesen stesen penumpang, lima stesen gabungan penumpang dan kargo serta satu stesen untuk kargo saja.

Loke berkata, projek ECRL itu bakal memberi manfaat kepada 5,000 anak tempatan berbanding 3,600 orang sebelum ini, termasuk melahirkan lebih ramai pakar bidang rel menerusi Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI-ECRL).


“Setakat ini, 447 pelatih berjaya dilatih dalam program ini dan diserapkan bekerja dalam projek ECRL,” katanya.


Sementara itu, Bai Tian berkata, ECRL adalah projek kerjasama ekonomi dan perdagangan terbesar antara China dan Malaysia setakat ini.


Beliau berkata, pelancaran semula projek mega itu melambangkan aspirasi bersama China dan Malaysia dalam melonjakkan kerjasama ekonomi serta perdagangan kedua-dua negara.


“Selepas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan projek ECRL akan diteruskan pada 15 April lalu, ia meningkatkan keyakinan pelabur luar melabur di Malaysia, terutama dari China.


“Malah, sejak tiga bulan lalu, banyak syarikat dan perusahaan China di Malaysia menyatakan jangkaan optimis dengan pelaburan di Malaysia.


“Kami juga menyedari semakin banyak perusahaan dan pelabur China datang melabur di Malaysia. Kami percaya, pelancaran semula ECRL hari ini (semalam) akan meningkatkan kerjasama Malaysia dan China," katanya.


Bai Tian berkata, sebaik ECRL siap dijangka pada 2026, ia akan memacu pembangunan ekonomi, logistik, perdagangan dan pelancongan serta menjadi pemain penting memajukan lagi ekonomi dan pembangunan sosial Malaysia.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #ECRL

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.