Kuala Terengganu: Pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berjaya memberi peluang pekerjaan kepada 3,476 penduduk tempatan terutamanya golongan muda.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Hanafiah Mat berkata, mereka adalah sebahagian daripada 5,034 anak tempatan yang terbabit dengan pembinaan projek ECRL.
Sehingga September lalu, katanya, secara keseluruhan projek ECRL menggunakan seramai 21,716 tenaga kerja anak tempatan dan pekerja asing.
"Keperluan pekerja tempatan semasa bergantung kepada baki-baki kerja infrastruktur yang masih ada.
"Bilangan pekerja dijangka akan berkurangan sehingga projek itu disiapkan mengikut kepakaran atau kerja yang masih berbaki," katanya ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Dr Riduan Mohamad Nor (Pas-Jertih) pada Persidangan Dewan Undangan negeri (DUN) di sini, tadi.
Mengulas lanjut, Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, berkata, pekerja yang mempunyai kepakaran akan diserap ketika pengoperasian selepas projek selesai dan bilangannya akan ditentukan mengikut kekosongan jawatan.
Ketika menjawab soalan tambahan Riduan mengenai kes sosial membabitkan pekerja ECRL dengan masyarakat tempatan, Hanafiah berkata, isuitu disenaraikan di dalam Laporan Penilaian Impak Sosial seperti diluluskan PLANMalaysia.
Katanya, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) selaku pemilik projek ECRL dengan kerjasama kontraktor utama, China Communications Construction Sdn Bhd (CCC) sudah mengambil beberapa langkah untuk mengatasinya.
"Antaranya mewujudkan penempatan pekerja dari China secara berpusat dikenali sebagai Central Labour Quarters( CLQ) dan memperkenalkan sistem atau prosedur keselamatan yang wajib dipatuhi.
"Sistem pemantauan bersama pihak berkuasa tempatan termasuklah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasa lain juga dilakukan termasuk pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi memastikan tiada penyakit berjangkit," katanya.
Sumber: Harian Metro
Comentários