top of page

E-Logger, sistem kenal pasti kerosakan lif


KUALA LUMPUR 22 Mac - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal melancarkan sistem e-Logger pertama yang diwujudkan bagi membantu mengenalpasti setiap kerosakan lif melalui telefon pintar beroperasi 24 jam tanpa menunggu aduan daripada penghuni perumahan bertingkat.


Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Anwar Mohd. Zain berkata, sistem baharu berkenaan telah dipasang untuk diuji di 412 unit lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sejak Januari lalu.


“Melalui sistem ini, bukan sahaja aduan mengenai kerosakan lif dapat direkod tetapi juga memantau tempoh masa baik pulih lif, mengawal prestasi setiap kontraktor dan dan penyimpanan data.


“Sistem ini juga dilengkapi dengan dua ‘respon time’ iaitu kontraktor penyenggaraan lif akan tiba dalam 30 minit bagi kerosakan biasa manakala 20 minit untuk penghuni yang terperangkap di dalam lif,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sesi temubual berhubung Isu Vandalisme dan Penyelenggaraan Lif di PPR dan PA di Menara DBKL 3, Jalan Raja Abdullah di sini hari ini.


Tambahnya, sistem e-Logger itu akan dilancarkan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Jun depan.


Sebarang aduan berkaitan kerosakan lif boleh disalurkan terus ke bilik gerakan DBKL di talian 03-9226 1312 atau 03-9226 3112.



21 views
bottom of page