top of page

DUN Sabah : Pengambilan tanah hak milik adat jadi cabaran pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo



Kota Kinabalu : Pengambilan tanah terutamanya tanah yang dibawah hak milik adat menjadi antara cabaran besar dalam pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di negeri ini.


Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, tanah yang dimiliki oleh individu atau komuniti berdasarkan hak adat (Native Customary Right – NCR) memerlukan proses yang lebih panjang.


Ini kerana katanya, ia perlu mendapat kelulusan daripada pemilik tanah serta persetujuan secara perundangan.


“Selain daripada itu, kekurangan sumber manusia (tenaga kerja) dipihak Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah dalam sudut membuat penilaian juga menyumbang kepada kelewatan proses penilaian dan pengambilan tanah,” katanya.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan ADUN Dilantik Datuk Seri Yong Teck Lee di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.


Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, kos keseluruhan pengambilan tanah bagi projek Pan Borneo Fasa 1 adalah sebanyak RM2.53 billion yang boleh dibahagikan kepada dua iaitu Fasa 1A (RM1.32 biIliion) dan Fasa 1B sebanyak RM 1.21 billion


Katanya, pembayaran pampasan tanah kepada pemilik tanah adalah diselesaikan melalui tatacara yang telah ditetapkan oleh JTU termasuk pewartaan, penilaian, pemberian tawaran, penerimaan tawaran daripada pemilik tanah dan seterusnya proses pembayaran.


“Berdasarkan daripada pengalaman yang dilalui dalam pelaksanaan pakej-pakej kerja dalam Fasa 1A, apabila Surat Setuju Terima (SST) baru-baru ini telah dikeluarkan kepada pakej kerja Fasa 1B, Kementerian Kerja Raya bersama dengan Jabatan Kerja Raya Sabah dan juga Kementerian Kerja Raya Malaysia membentuk satu Jawatankuasa Pemandu untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo,” katanya. 


Terdahulu, Shahelmey berkata, projek LPB adalah dibahagi kepada tiga fasa iaitu Fasa 1 terbahagi kepada 35 pakej mengikut Fasa 1A dan Fasa 1B dengan jumlah panjang sekitar 706km.


“Status pelaksanaan bagi Pakej 1 kini adalah empat pakej kerja telah siap pembinaan; 28 pakej kerja dalam pembinaan;  dua pakej kerja dalam peringkat memuktamadkan perolehan dan satu pakej kerja dalam peringkat pengeluaran SST.


“Bagi Fasa 1A yang sedang dalam peringkat pembinaan, adalah dijangka keseluruhannya akan siap menjelang Oktober 2026. Manakala Fasa 1B pula dijangka siap keseluruhannya pada September 2028.


“Bagi Fasa 2 yang melibatkan jajaran Tamparuli-Ranau dengan anggaran jarak sekitar 98KM dan Fasa 3 Jajaran Kimanis- Keningau-Kalabakan-Tawau dengan jarak sekitar 432KM adalah masih di peringkat perancangan.


“Pelaksanaannya adalah bergantung kepada kelulusan dan keupayaan kewangan kerajaan,” katanya.


Sumber: Sabah Media

Comentarios


bottom of page