Dulu gelandangan, tapi sekarang...


16 peserta daripada komuniti ketukangan bersama peralatan asas perpaipan supaya mereka dapat memulakan pekerjaan dalam bidang itu serta-merta.

KAJANG - Sekumpulan penyelidik dari Fakulti Alam Bina Universiti Malaya (UM) melaksanakan program kemasyarakatan U2u di bawah geran penyelidikan UMCares.


Kumpulan penyelidik itu diketuai oleh Pensyarah Kanan di Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina Universiti Malaya (UM), Sr Dr Umi Kalsum Zolkafli@Zulkifly dan tiga lagi penyelidik bersama iaitu Ketua Pusat Penyelidik Bangunan, Binaan dan Serbaguna UM, Prof Sr Dr Azlan Shah Ali; Pensyarah Kanan Jabatan Ukur Bahan UM, Dr Au Yong Cheong Peng dan Pensyarah Kanan Jabatan Ukur Bahan UM, Dr Norhanim Zakaria.


Umi Kalsum berkata, program U2u dirangka khusus untuk memberi pengetahuan asas ketukangan pembinaan daripada segi teori dan praktikal kepada golongan gelandangan.


"Kami cadangkan proposal apabila melihat gelandangan yang kebanyakannya mendapat bantuan lebih kepada makanan, sesi kaunseling dan perubatan, tetapi tidak ada yang memberi fokus kepada kemahiran teknikal dan inilah yang membangkitkan semangat kami untuk membuat program ini.

Umi Kalsum ditemui selepas berakhirnya Majlis Graduasi Program U2u: Modul Ketukangan Pembinaan (Pemasangan Paip Air Dalaman) bagi komuniti gelandangan di sini malam tadi.


Menurutnya, kemahiran yang diperoleh oleh 16 peserta program U2u diharapkan dapat membantu mereka untuk menjana pendapatan dan membuka peluang mencari rezeki dalam bidang pembinaan.


Program U2u dijayakan dengan sokongan dan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara melalui Anjung Singgah dan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Tengah.


Sementara itu, salah seorang peserta Bengkel ketukangan Pembinaan (Pemasangan Paip Air Dalaman), Yasin Low Abdullah berkata, bukan mudah untuk menyertai program anjuran CIDB dan bukan senang untuk mendapat sijil yang melayakkan pemiliknya untuk bergiat dalam bidang pembinaan.


"Dalam tempoh lima hari ini kami memang belajar sungguh-sungguh dan akan mempraktikkan segala apa yang dipelajari.


"Jika sebelum ini setiap kali melakukan kerja-kerja saya agak was-was sebab tidak mendapat kursus sepatutnya tapi kini tidak lagi malah saya lebih yakin," katanya.


Bagi Rozita Baha Daud, pelawaan pihak Anjung Singgah supaya menyertai bengkel diibaratkan sesuatu yang tidak patut dilepaskan.


"Saya bersyukur kerana dapat peluang ini dan rasa sangat-sangat teruja.

"Dalam bengkel ini semua peserta diajar dengan pelbagai ilmu termasuk cara untuk memasarkan apa yang dipelajari ini dan saya akan mencari pendapatan dengan apa yang saya dapat sepanjang lima hari ini," kongsinya.


Peserta sebelum ini telah ditemu duga pada 8 Oktober lalu dan seramai 16 orang dipilih untuk menyertai program U2u.


Sumber: Sinar Harian


#evolusibina #TVET



9 views

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.