top of page

Dua premis curi air akibatkan Air Selangor rugi lebih RM90,000


Dua premis curi air akibatkan Air Selangor rugi lebih RM90,000
Kakitangan SPAN bersama Air Selangor menjalankan pemeriksaan bagi mengesan sambungan air secara haram. (Gambar kecil: Ahmad Faizal)

Dua premis curi air akibatkan Air Selangor rugi lebih RM90,000

KLANG - Sebuah tapak perbinaan dan kilang barangan lusuh dikesan membuat penyambungan air secara haram dalam satu operasi di kawasan Telok Gong, di sini pada Isnin.


Operasi dijalankan lebih 40 kakitangan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bermula kira-kira jam 11 pagi itu mendapati kedua-dua premis dijalankan secara haram sejak Februari dan Mac tahun ini.


Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata, pemeriksaan mendapati kerugian dialami Air Selangor akibat kegiatan ini berjumlah lebih RM90,000 melibatkan kedua-dua premis.

Kerjaya Madani Politeknik Shah Alam

"Operasi pertama melibatkan sebuah tapak pembinaan mendapati kontraktor terlibat melakukan sambungan secara terus dari paip utama milik Air Selangor menggunakan paip berukuran 32 milimeter (mm).

"Semakan mendapati premis ini mempunyai meter air yang sah," katanya menerusi sidang media di lokasi serbuan di Telok Gong di sini pada Isnin.

Katanya, paip tersebut dikesan menyalurkan bekalan air ke dalam sebuah tangki dalam kawasan pembinaan tersebut.


"Paip disambung secara haram ini dikesan digunakan bagi kegunaan harian pekerja-pekerja di tapak pembinaan ini.


"Selain itu, ia turut digunakan bagi pelbagai aktiviti melibatkan pembinaan di kawasan tapak tersebut, ujian klorin dijalankan sekali gus mengesahkan bekalan air diterima merupakan air terawat," katanya.

Dua premis curi air akibatkan Air Selangor rugi lebih RM90,000
Kakitangan SPAN bersama Air Selangor menjalankan pemeriksaan bagi mengesan sambungan air secara haram. (Gambar kecil: Ahmad Faizal)

Menurutnya, serbuan kedua melibatkan sebuah kilang barangan lusuh turut mendapati terdapat sambungan tidak sah ada bahagian meter air.


"Semakan mendapati terdapat satu sambungan tidak sah menggunakan paip mudah lentur berukuran 14mm.


"Air Selangor yang menjalankan semakan mendapati akaun berdaftar sebelum ini telah ditutup dan penyambungan tidak sah dijalankan bagi kegunaan harian kilang," katanya.


Ujar Ahmad Faizal, siasatan melibatkan kedua-dua lokasi serbuan berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).


"Setakat ini, sebanyak 10 kes yang dicatatkan melibatkan sambungan air tidak sah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga Julai 2023.


"Operasi penguatkuasaan ini akan dijalankan secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran awam berkaitan kecurian air dan penyambungan tidak sah," katanya.


Tambahnya, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak berkaitan yang dikesan melakukan penyambungan air secara tidak sah ini.


"Sebarang aduan atau maklumat berkenaan penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang, para pengguna boleh menyalurkan melalui WhatsApp ke nombor 013-3885000 atau e-mel ke alamat aduan@span.gov.my.http://@span.gov.my," katanya.


Sumber: Sinar Harian


Dua premis curi air akibatkan Air Selangor rugi lebih RM90,000


5 views
bottom of page