top of page

Dua kontraktor projek hidroelektrik didenda RM60,000



DUA syarikat masing-masing didenda RM60,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas tuduhan membina tangki septik dan sistem pembetungan tanpa pelan serta spesifikasi diluluskan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).


Hukuman diputuskan Hakim Jamaludin Mat yang menetapkan denda RM15,000 bagi setiap pertuduhan dihadapi tertuduh.


Syarikat itu, LLC Infra Sdn Bhd dan Sinohydro Corporation (M) Sdn Bhd masing-masing didakwa terhadap empat pertuduhan mengikut Seksyen 45 (7) (a) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).


Mengikut pertuduhan, LLC Infra Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, Loh Choon Quan, 44, didakwa membina dan memasang dua unit tangki septik serta dua unit sistem pembetungan di empat lokasi berasingan di Stesen Janaelektrik Hulu Terengganu, Kuala Berang tanpa pelan dan spesifikasi yang dikehendaki diluluskan terlebih dahulu secara bertulis oleh SPAN.

Manakala, syarikat Sinohydro Corporation (M) Sdn Bhd yang diwakili pengarah syarikat, He Feng didakwa membina tiga unit tangki septik dan satu unit sistem pembetungan tanpa pelan dan spesifikasi dikehendaki di empat lokasi berasingan di Stesen Janaelektrik Hulu Terengganu, Kuala Berang.


Kedua-dua syarikat terbabit, antara kontraktor utama bagi keseluruhan pembinaan Projek Hidroelektrik Hulu Terengganu yang dilantik Tetuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu pemilik projek itu sejak 8 September 2010.


Mereka dikesan melakukan kesalahan terbabit pada 25 November 2015.


Mengikut akta, syarikat atau wakilnya boleh dihukum mengikut subseksyen 45(7) Akta 655 iaitu denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kanan SPAN, Shariful Azman Mustapa Yahya dan Mohd Helmy Razelan, manakala kedua-dua syarikat itu diwakili peguam daripada Tetuan Iza, Ng, Yeoh & Kit.


Sumber: Harian Metro


17 views
bottom of page