top of page

DBKL tutup tapak pembinaan di Jalan Ampang



SEBUAH tapak pembinaan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur diarah tutup selama 30 hari kerana tidak mematuhi syarat kelulusan perintah pembangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, ketika mengesahkan perkara itu berkata, notis dikeluarkan menerusi Ops Pantau Covid-19 yang dijalankan Jabatan Penguatkuasaan DBKL tengah hari tadi.


"Siasatan mendapati tapak pembinaan itu menjalankan aktiviti tanpa kebenaran yang melanggar Seksyen 70 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 apabila mereka membina rumah kongsi pekerja di subtingkat bawah tanah tanpa kebenaran.


"Oleh itu, mereka diminta memberhentikan sebarang aktiviti dan mengosongkan tapak pembinaan itu dalam tempoh 30 hari bermula hari ini," katanya kepada pemberita hari ini.


Beliau berkata, jika gagal mematuhi arahan itu, DBKL akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya dan tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kerugian daripada pihak pemaju.


Pada 3 Mei lalu, DBKL telah mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor tapak pembinaan yang membina rumah kongsi pekerja tanpa mematuhi garis panduan ditetapkan.


Ia susulan penularan wabak Covid-19 ke atas 28 pekerja asing tapak pembinaan yang dikesan oleh Kementerian Kesihatan sejak 3 Mei lalu.


Sumber: Harian Metro


16 views
bottom of page