DBKL beri pengecualian cukai pintu



PUTRAJAYA: Pemilik premis seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang gagal disewakan atau tidak menjana pendapatan ekoran penularan COVID-19 bakal menikmati pengecualian cukai pintu.


Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata pemilik bagaimanapun perlu mengemukakan bukti berkaitan kegagalan premis disewa atau tidak menjana pendapatan ketika membuat permohonan kepada DBKL.


"Mereka boleh membuat permohonan kepada DBKL dan Datuk Bandar Kuala Lumpur (Datuk Mahadi Che Ngah) diberikan kuasa untuk menentukan peratusan pengecualian bayaran cukai. Rebate itu akan dipertimbangkan Datuk Bandar mengikut permohonan," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan inisiatif tambahan sebanyak RM39.75 juta bagi Wilayah Cakna 3.0, di sini hari ini.


Mengenai Inisiatif Wilayah Cakna 3.0, beliau berkata, ia dirangka bagi meringankan beban penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang terkesan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).


"Keseluruhan perbelanjaan bagi pelaksanaan bantuan dan inisiatif Wilayah Cakna untuk tempoh Mac sehingga 12 Oktober lalu adalah sebanyak RM108.64 juta," katanya.


Annuar berkata, penghuni Projek Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan Perumahan Awam DBKL akan diberi pengecualian bayaran sewa rumah, bermula Oktober hingga Disember depan.


"Keseluruhan peruntukan ini bernilai RM14.4 juta yang akan memberi manfaat kepada 40,000 penyewa. Kita turut memberi pengecualian caj sewaan premis perniagaan milik DBKL, dimanfaatkan 5,830 penjaja dan peniaga kecil berlesen di Kuala Lumpur.


"Mereka turut diberi pengecualian bayaran bagi pembaharuan lesen perniagaan pada November depan, membabitkan 1,339 akaun dengan kos sebanyak RM330,000," katanya.


Pengecualian caj sewaan premis milik Perbadanan Putrajaya (PPj) juga memberi manfaat kepada 302 penjaja dan peniaga di Putrajaya bermula Oktober hingga Disember membabitkan pengecualian hasil kepada PPj sebanyak RM1.87 juta.


Penjaja dan peniaga kecil di Putrajaya juga diberi pengecualian bayaran pembaharuan lesen perniagaan yang dibuat dalam tempoh Oktober hingga Disember membabitkan peruntukan berjumlah RM50,000.


Annuar berkata, sumbangan RM3,000 secara one-off akan diberikan kepada 11 majlis perwakilan penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan enam sub zon di Putrajaya, manakala RM2,000 kepada 570 persatuan penduduk.


"Ia adalah untuk pelaksanaan program pencegahan COVID-19 dan amalan pematuhan dalam kalangan komuniti supaya rantaian penularan COVID-19 dapat diputuskan dengan berkesan," katanya.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #DBKL

2 views

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.