top of page

Cukai warisan halang rakyat Malaysia daripada melabur dalam hartanah - REHDA



KUALA LUMPUR 16 Okt - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menyatakan kebimbangan, pengenalan cukai warisan dalam Belanjawan 2025 akan menghalang rakyat Malaysia daripada membeli rumah sebagai alat pelaburan.


Dalam satu kenyataan media hari ini sebagai respons kepada spekulasi berkenaan, Rehda Malaysia berpendapat, cukai warisan hanya akan membebankan pewaris keluarga, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana kerana mereka terpaksa menanggung cukai yang mungkin berlebihan akibat harta yang diwarisi. 


Namun, sekiranya cukai warisan tetap diperkenalkan, persatuan itu menyeru kerajaan agar tidak mengenakan cukai ke atas harta kediaman.


Presiden Rehda Malaysia, Datuk Ho Hon Sang berkata, pihaknya dan kerajaan seharusnya membantu rakyat untuk memiliki rumah, bukannya membataskan pilihan mereka.


"Ramai rakyat mungkin akan mengelak pelaburan lain yang berisiko tinggi dan memilih hartanah kerana ia adalah satu pilihan pelaburan yang paling selamat bagi mereka yang mampu, berdasarkan kemungkinan nilai hartanah tersebut akan meningkat. 


"Pemilik baharu yang mewarisi harta itu mungkin terpaksa menjual rumah pusaka mereka kerana tidak mampu membayar cukai yang dikenakan, sekali gus kehilangan rumah dan pelaburan yang dimulakan oleh keluarga mereka yang telah meninggal dunia. Ini akan menghalang pemilikan hartanah jangka panjang," jelas Rehda Malaysia.


Menjelang pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat ini, terdapat spekulasi mengenai pengenalan semula cukai warisan, walaupun Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menafikan kemungkinan tersebut.


Malaysia mempunyai Enakmen Cukai Harta pada era kolonial pada tahun 1941, yang dimansuhkan pada tahun 1991 dan ia berfungsi dengan cara yang serupa dengan cukai warisan, di mana kedua-duanya hanya dikenakan selepas berlaku kematian.


Cukai harta dikenakan ke atas nilai bersih harta milik si mati, manakala cukai warisan dikenakan ke atas penerima manfaat.


Sumber: Dagang News

Comments


bottom of page