top of page

COVID-19: Selangor ubah suai PKPB untuk tempoh peralihan


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. - NSTP/Faiz Anuar

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubah suai (PKPBD) selepas beberapa mesyuarat dan mendapat penelitian daripada pelbagai agensi yang terbabit.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri mengambil langkah berhati-hati dalam membuka semula sektor ekonomi di Selangor, termasuk dengan mengubah suai beberapa perkara dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan kerajaan Persekutuan pada Jumaat lalu.



"Sekarang adalah 'transition period'. Justeru, kita perlu berhati-hati dalam tindakan yang kita ambil dan walaupun selepas keluk wabak COVID-19 dilandaikan, kita tidak boleh leka bagi mengelakkan wujudnya lagi kluster besar seperti kluster Sri Petaling sebelum ini.


"Saya juga percaya keputusan melaksanakan PKPBD dibuat dalam lingkungan kuasa kerajaan negeri ini yang dibenarkan mengikut undang-undang," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Kanan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai kemungkinan kerajaan negeri terdedah kepada tindakan undang-undang jika menghalang syarikat kembali beroperasi mulai semalam.


Ahad lalu, Selangor mengumumkan PKPB di negeri itu dilaksanakan menerusi beberapa perincian tambahan antaranya restoran dan penjaja berpremis hanya terhad untuk penjualan makanan secara bungkus, pandu lalu dan penghantaran sahaja, selain sektor pembinaan perlu menyediakan pelan tindakan keselamatan yang diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum beroperasi.


Menurut Amirudin, walaupun pihak industri dikatakan boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri, namun langkah pihaknya melaksanakan PKPBD berdasarkan kepada kesediaan sektor itu untuk memulakan operasinya.


Jelasnya, hubungan baik kerajaan negeri dengan semua pelabur di Selangor juga diyakini akan merancakkan kembali sektor ekonomi.


"Keputusan kerajaan negeri Selangor melaksanakan PKPBD sebagai tindakan 'soft landing' dan bukan 'crash landing' memandangkan semua pihak ketika ini sedang dilatih dengan amalan normal baharu sejak PKP dimulakan pada 18 Mac lalu," katanya.



9 views
bottom of page