top of page

COVID-19: Projek utama, MRT2, LRT3 dibenar sambung semula minggu depan


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Beberapa projek pembinaan utama dibenarkan untuk menyambung semula kerja masing-masing di tengah-tengah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini dilanjutkan sehingga 12 Mei, demikian kata Affin Hwang Capital.


Bahagian penyelidik bank pelaburan itu berkata, projek utama yang dibenarkan memulakan semula kerja pembinaan minggu depan termasuk MRT2 dan LRT3, dan beberapa kerja pembangunan bangunan juga dibenarkan disambung semula.


Ia berkata, beberapa kontraktor mendapat kelulusan untuk memulakan semula kerja untuk sesetengah projek oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).


MITI mengenakan beberapa peraturan kepada kontraktor seperti waktu kerja di lapangan dihadkan kepada 8 pagi hingga 5.30 petang dan lima hari seminggu; pemeriksaan kesihatan pada pintu masuk; mengamalkan penjarakan sosial; mengurangkan pekerja di lapangan atau mengehadkan kepada 50 peratus daripada keperluan lazim; menggalakkan kerja dari rumah untuk pekerja berkolar putih dan mengenal pasti penyelia yang bertanggungjawab bagi memastikan peraturan dipatuhi.


Affin Hwang Capital dalam nota penyelidikannya berkata, pihaknya difahamkan bahawa Sunway Construction (SunCon) dibenarkan untuk memulakan semula kerja di kesemua 10 projek sedia adanya termasuk pakej subkontrak MRT2 dan LRT3, ibu pejabat Tenaga dan empat projek bangunan untuk Sunway, termasuk dua projek hospital.


Katanya, HSS menerima kelulusan untuk memulakan semula semua kerja kejuruteraan dengan had sehingga 50 peratus keperluan kakitangannya di pejabat atau di lapangan, sementara selebihnya kerja dari rumah.


"Namun begitu, beberapa kerja pengurusan pembinaan HSS bagi sesetengah projek perlu menunggu kontraktor diluluskan oleh MITI untuk menyambung semula kerja.


"YTL Corp juga menerima kelulusan MITI untuk memulakan semula kerja projek landasan berkembar Gemas-JB," katanya.


Affin Hwang Capital berkata, WCT dibenarkan hanya melaksanakan kerja kritikal bagi MRT2 dan Lebuh Raya Pan Borneo sejak akhir Mac, dengan tiada kelulusan baharu daripada MITI untuk memulakan semula kerja projek lain.


IJM, pula, jelasnya, sudah menerima kelulusan untuk memulakan semula kerja terhadap beberapa projeknya.


"Kami mengekalkan unjuran pendapatan bagi syarikat pembinaan dan sudah mengambil kira kemajuan perlahan bil pada separuh pertama 2020.


"Kami mengekalkan panggilan 'underweight' terhadap sektor ini. Pilihan utama kami ialah SunCon, AME dan Taliworks; manakala pilihan jual adalah Gamuda, IJMCorp dan MRCB," katanya.



119 views
bottom of page