
KUALA LUMPUR: Kelulusan khas akan diberikan Kementerian Sumber Manusia kepada Pusat Pertukaran Pekerja Binaan Bhd (CLAB) bagi pengambilan pekerja asing untuk industri binaan.
Pengerusi Gabungan Kontraktor Bumiputera Wibawa Malaysia (GBC), Datuk Md Nasir Ibrahim, berkata kelulusan itu untuk pengambilan pekerja bagi kontraktor gred G1, G2 dan G3.
"Kami berterima kasih kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan kerana memberi kelulusan khas kepada CLAB untuk pengambilan pekerja khususnya bagi G1, G2 serta G3 dan mempercepatkan proses ini.
"Situasi (kekurangan pekerja binaan) sekarang agak meruncing, pekerja lama balik, yang baru sukar nak dapat selain ada proses yang ketat.
"Bagaimanapun dengan kelulusan khas ini kita beranggapan apa yang disebut menteri boleh menjadi `batu loncatan' untuk menyelesaikan semua tunggakan kerja yang ada dalam industri binaan," katanya kepada media selepas perjumpaan persatuan berkait industri binaan bersama Saravanan di sini, hari ini.
Md Nasir berkata, pihaknya juga berharap kebenaran bagi kelulusan khas atau surat punca kuasa itu dapat dipercepatkan dalam tempoh dua hingga tiga hari ini.
"Menteri ada sebut tadi jika ada levi yang telah dibayar melalui CLAB dan sebagainya mungkin dipercepatkan dalam tempoh 48 jam. Jadi, kita harap juga kelulusan khas ataupun surat punca kuasa ini dipercepatkan dalam masa dua tiga hari dan berharap industri boleh berjalan lancar," katanya.
Khamis lalu, persatuan berkaitan industri pembinaan mahu kerajaan mengembalikan urusan proses kemasukan pekerja asing kepada CLAB bagi menangani semua isu berbangkit berhubung pekerja asing tanpa membabitkan Kementerian Sumber Manusia (KSM).
Dalam kenyataan bersama 10 persatuan itu meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan dalam soal berkenaan.
Mereka berpendapat sesuatu perlu dilakukan bagi membantu industri pembinaan mendapatkan tenaga kerja asing secepat mungkin.
Terdahulu, Saravanan ketika ditemui selepas perjumpaan itu berkata, dari segi dasar, beliau bersama Menteri Dalam Negeri bersetuju untuk membenarkan CLAB menguruskan pekerja asing untuk sektor pembinaan sahaja.
"Tetapi ada peraturan dan proses yang perlu dilalui, itu sahaja kekangan. Jadi, pada masa sama kalau ada kelulusan khas kita boleh bantu sektor pembinaan.
"Itu yang saya bincang dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) tadi dan mereka setuju yang mana ada peraturan tertentu yang perlu diubah suai sedikit," katanya.
Beliau berkata, sedikit perubahan perlu dilakukan kerana dasar pekerja asing negara adalah tidak membenarkan orang ketiga menjadi majikan.
"Sebab sebelum ini apabila kita tubuhkan CLAB kita tiada Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).
"Hari ini kita ada Akta 446 dan kekangan kita sekiranya sebarang kegagalan berlaku majikan kena bayar RM50,000 untuk setiap pekerja," katanya.
CLAB ditubuhkan pada 2003 oleh Jawatankuasa Kabinet Berhubung Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin sebagai pusat pemudah cara dalam pengambilan pekerja asing bagi sektor pembinaan.
Bagaimanapun, berkuat kuasa 14 November 2017, CLAB dijadikan syarikat penuh milik CIDB bertujuan memberi penekanan dalam menempatkan pekerja mahir tempatan bagi projek pembinaan.
Sumber: Berita Harian