
KUALA LUMPUR: Pemegang saham Citaglobal Bhd sebulat suara meluluskan cadangan pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Citaglobal Engineering Services Sdn Bhd (CESSB) pada harga RM140 juta.
Citaglobal yang dahulunya dikenali sebagai WZ Satu Bhd mengambil alih CESSB menerusi penerbitan 736.84 juta saham baharu pada harga terbitan 19 sen sesaham.
Pemegang saham Citaglobal juga meluluskan cadangan penyatuan setiap lima saham Citaglobal sedia ada kepada satu unit saham pada tarikh kelayakan yang akan ditentukan kemudian.
Cadangan pengambilalihan ini disertakan dengan jaminan keuntungan bersih sebanyak RM60 juta dalam tempoh tiga tahun kewangan bermula dari tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2022 hingga tahun kewangan 2024.
Dengan muktamadnya cadangan pengambilalihan itu, nilai kontrak Citaglobal akan meningkat daripada RM754.5 juta berbanding RM381 juta yang dicatatkan setakat 30 Jun 2022, manakala kontrak EPC untuk reka bentuk, pembinaan dan kelengkapan Fasa 1 Pelabuhan Darat Negeri Perlis yang diperoleh pada 30 Ogos 2022 meningkat kepada RM984.7 juta daripada RM373.5 juta.
Apabila pengambilalihan CESSB dimuktamad, kepentingan Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria dalam kumpulan berkenaan meningkat kepada 47.03 peratus daripada 16.51 peratus.
KAF Investment Bank ialah Penasihat Utama yang dilantik untuk cadangan pengambilalihan berkenaan, manakala BDO Capital Consultants Sdn Bhd ialah Penasihat Bebas yang dilantik untuk menasihati pengarah yang tidak berkepentingan dan pemegang saham tidak berkepentingan.
Sementara itu, Astramina Advisory pula dilantik sebagai Pengatur Urus Niaga bagi Cadangan Pengambilalihan dan Penasihat Kewangan bagi Cadangan Penyatuan Saham.
CESSB kini sedang melaksanakan pelbagai projek dengan sasaran jumlah nilai projek kira-kira RM1.66 bilion.
Mengulas mengenainya, Mohamad Norza, berkata Citaglobal memiliki misi untuk membentuk kumpulan itu menjadi syarikat berwajaran tinggi yang kukuh, terutama dalam sektor telekomunikasi dan tenaga boleh diperbaharui.
"Kami telah melakukan usaha, dan hasilnya mula menunjukkan hasil," katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) Citaglobal di sini, hari ini.
Menuju ke hadapan, beliau menjelaskan, Citaglobal berminat untuk mengambil bahagian dalam membangunkan menara telekomunikasi 5G di seluruh negara selepas melihat peluang dan potensi menerusi pelancaran rangkaian 5G Malaysia.
"CESSB ialah Pembekal Kemudahan Rangkaian berlesen dengan pengalaman dalam kerja-kerja pemasangan. Citaglobal merancang untuk mengambil bahagian dalam projek tertentu yang dikenal pasti dalam sektor pembinaan dan telekomunikasi, yang memerlukan perkhidmatan bernilai tambah tinggi," katanya.
Untuk rekod, CESSB ialah kontraktor Gred 7 yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam pembinaan, perkhidmatan mekanikal dan kejuruteraan, pengurusan projek dan kemudahan serta telekomunikasi.
Perniagaan semasa Citaglobal termasuk kejuruteraan awam dan pembinaan, minyak dan gas (O&G) serta pembuatan.
Sumber: Berita Harian