top of page

CIDB cadang klausa perubahan harga kurangkan tekanan kontraktor


CIDB sedia maklum tentang kenaikan harga bahan binaan di pasaran berikutan pandemik yang boleh menjejaskan aliran kewangan penggiat industri di sepanjang rantaian bekalan sektor pembinaan dan kenaikan ini dijangka akan dipindahkan kepada pengguna akhir. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mencadangkan satu klausa perubahan harga (VOP) kepada projek-projek kerajaan sekurang-kurangnya bagi tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, pemberian VOP ini dijangka mengurangkan tekanan dan beban kewangan kepada kontraktor yang terjejas dengan kenaikan harga bahan binaan selain memastikan projek yang sedang dilaksanakan dapat disiapkan mengikut jadual.


Jelasnya, CIDB sedia maklum tentang kenaikan harga bahan binaan di pasaran berikutan pandemik yang boleh menjejaskan aliran kewangan penggiat industri di sepanjang rantaian bekalan sektor pembinaan dan kenaikan ini dijangka akan dipindahkan kepada pengguna akhir.


“Isu ini tentunya mencetuskan pelbagai kesan sampingan kepada semua penggiat industri dalam situasi semasa pandemik yang mencabar.


“Kenaikan harga bahan binaan ini memberi kesan berbeza kepada kontraktor gred kecil dan besar kerana setiap pengeluar akan memberikan kadar diskaun yang berbeza untuk pembeli tertakluk kepada kuantiti, terma bayaran dan rekod pembelian serta pembayaran sebelumnya.


“Contohnya, kenaikan harga yang tinggi mungkin dirasai dalam pembelian kuantiti kecil, manakala harga untuk pembelian pukal pula tidak menunjukkan perubahan ketara. Faktor lain yang dilihat turut mempengaruhi peningkatan harga adalah peningkatan kos bahan mentah, stok bahan binaan yang terhad serta kos sampingan perniagaan,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.


Menurut Ahmad ‘Asri, CIDB juga telah membuat semakan harga di kedai perkakas antaranya di sekitar Perlis dan mendapati purata harga bahan binaan di Wilayah Utara pada Mac 2021 menunjukkan peningkatan harga purata sekitar 40 peratus berbanding tahun lalu.


Justeru, beliau memaklumkan, CIDB akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam masa terdekat bagi melihat cara terbaik untuk membantu kontraktor-kontraktor kecil yang terjejas disebabkan kenaikan harga bahan binaan.


“Kontraktor dinasihatkan supaya berhati-hati dalam memberi sebut harga kepada pelanggan bagi memastikan mereka bersedia dengan kemungkinan kenaikan harga berdasarkan harga bahan binaan semasa.


“Bagi kontrak yang sedang berjalan, kontraktor dinasihatkan untuk berunding semula dengan pelanggan berdasarkan kenaikan harga yang terkini,” tambahnya.



49 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page