top of page

China mahu pembangunan seimbang bandar dan luar bandar


Bandar Xi’an menjadi hab pengendalian perkhidmatan kereta api kargo China-Eropah.
Bandar Xi’an menjadi hab pengendalian perkhidmatan kereta api kargo China-Eropah.

XI'AN: Presiden China, Xi Jinping, mahu wilayah Shaanxi yang terletak di barat laut China, terus bersemangat melakar pencapaian dalam landskap pembangunan kebangsaan dan giat memainkan peranan ikonik dalam pembinaan modenisasi ala China untuk kawasan barat negara ini.


Xi yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), berkata demikian selepas mendengar laporan kerja yang dibentangkan jawatankuasa PKC di Shaanxi dan kerajaan wilayah menjelang Sidang Kemuncak China-Asia Tengah yang bakal berlangsung di bandar Xi'an, ibu kota wilayah Shaanxi.


Dalam ucapan beliau, Xi menggalakkan wilayah Shaanxi berusaha memperjuang matlamat baharu dalam merancakkan inovasi sains dan teknologi serta membentuk sistem industri moden.


"Usaha diperlukan untuk membina Pusat Sains Negara Xi'an yang menyeluruh dan Pusat Inovasi Sains dan Teknologi, berserta pusat penyelidikan saintifik, kebudayaan dan pendidikan, pangkalan industri berteknologi tinggi dan industri pembuatan di peringkat kebangsaan," kata Xi pada Rabu.


Xi juga menekankan peri pentingnya untuk mendorong pembangunan seimbang di antara kawasan bandar dengan kawasan luar bandar.


"Kita harus mendorong perbandaran model baharu melalui pembangunan kota dan pekan kecil dengan memanfaatkan sumber asli tempatan dan membangunkan industri bercirikan tempatan," katanya.


Menyentuh mengenai usaha perlindungan ekologi alam sekitar, Xi berkata amat penting untuk memelihara ekologi di lembangan Sungai Kuning yang disifatkan sebagai sungai ibunda bangsa China dan menyempurnakan mekanisme perlindungan Banjaran Qinling yang digelar sebagai Menara Air Pusat di negara ini.


"Usaha perlu ditingkatkan untuk menggalakkan transformasi dan pembangunan sosioekonomi yang hijau serta meningkatkan tahap pembinaan tamadun ekologi," katanya.


Selain itu, Xi juga memberi arahan tentang peningkatan tahap keterbukaan di wilayah Shaanxi agar pembangunan kawasan pedalaman menjadi pentas baharu dalam pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka.


"Wilayah Shaanxi harus giat melibatkan diri dalam pembinaan Inisiatif Jalur dan Laluan serta memanfaatkan lokasi strategik bandar Xi'an sebagai hab pengendalian perkhidmatan kereta api kargo China-Eropah.


"Selain itu, Shaanxi juga perlu mempercepat langkah dalam membentuk laluan yang menyambungkan negara-negara Asia Tengah, Asia Selatan dan Asia Barat, sekali gus memainkan peranan yang lebih besar dalam menambah kelancaran kitaran domestik-antarabangsa," kata Xi.


Sempena lawatan beliau ke wilayah Shaanxi pada Selasa, Xi turut meluangkan masa meninjau bandar Yuncheng dan mengunjungi sebuah muzium dan tasik garam.


"Usaha perlu diperkasa untuk memajukan projek mengesan asal usul tamadun China dan penyelidikan sejarah tamadun ini untuk meningkatkan tahap perlindungan dan penggunaan artifak purba dan pewarisan kebudayaan," kata beliau.


Ketika melawat Tasik Garam Yuncheng yang mempunyai sejarah penerokaan lebih 4,600 tahun, Xi berkata, usaha perlu ditingkatkan untuk memulihara ekologi tasik terbabit agar memastikan nilai-nilai sejarah dan budayanya terpelihara.


Sumber: Berita Harian

bottom of page