top of page

Cemas tebing sungai runtuh



Alor Gajah: Sebuah keluarga diancam bahaya selepas kawasan tebing sungai berhampiran rumah di Kampung Sungai Buloh, di sini, runtuh petang semalam.


Hujan lebat mulai jam 5.30 petang menyebabkan tebing berkenaan menggelungsur sekali gus mengancam kediaman Hairuddin Bakar, 47, dan isteri, Normah Abu Bakar, 40, serta lima anak berusia antara 10 hingga 19 tahun.


Hairuddin berkata, ketika kejadian, dia membeli barang di pekan Simpang Ampat, di sini dan terkejut apabila isterinya menghubunginya memaklumkan kejadian pada jam 6.15 petang.


"Saya segera pulang dan terkejut apabila mendapati tebing setinggi kira-kira enam meter bersebelahan dapur sudah runtuh.


"Saya segera membawa isteri dan anak keluar dari rumah dan berpindah ke rumah ibu saya kira-kira satu kilometer dari sini," katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.


Berikutan itu, mereka dinasihatkan Jurutera Daerah (JD) Jabatan Kerja Raya (JKR) Alor Gajah, Hafrin Salleh supaya mengosongkan kediaman bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.


Sementara itu, Normah berkata, dia terdengar lantai kaki lima dapur pecah pada jam 6.15 petang sebelum menggelungsur sedikit demi sedikit ke dalam sungai.


"Saya amat takut melihat tanah menggelungsur perlahan-lahan dan segera menghubungi suami, selain membawa lima anak untuk berlindung di anjung rumah.


"Kami merasakan dapur rumah boleh runtuh bila-bila masa tetapi Alhamdulillah, Allah menyelamatkan kami daripada bahaya dan runtuhan tanah terhenti pada jarak kira-kira satu meter dari dapur," katanya.


Sementara itu, Hafrin ketika dihubungi berkata, jurutera JKR sudah meninjau lokasi kejadian dan mencadangkan kerja pembaikan tebing sungai dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).


"Kediaman itu masih dalam keadaan baik tetapi lantai dapurnya sudah terlalu hampir dengan runtuhan dan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, ia harus dikosongkan," katanya.


Turut meninjau lokasi kejadian ialah Exco hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Latifah Omar.


Sumber: Harian Metro


44 views

Commentaires


bottom of page