top of page

Cadangan RTB Sungai Petani RM150 juta atasi banjir kilat


Anggota Angkatan Pertama Awam Malaysia Daerah Kuala Muda memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara semalam.

SUNGAI PETANI - Kerajaan negeri Kedah akan mengusulkan pembinaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Petani bernilai RM150 juta walaupun tidak tersenarai dalam projek yang akan dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).


Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Perumahan Negeri Kedah berkata, pembinaan RTB Sungai Petani bertujuan mengatasi masalah banjir kilat di bandar itu.


Menurutnya, cadangan itu akan dikemukakan pada Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang akan diadakan pada Rabu sebelum tindakan lanjut dibuat.


"Kita akui ia (banjir) berlaku disebabkan perparitan, sebelum ini Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah bersihkan dan mendalamkan parit namun tetap berlaku banjir.


"Kita akan teruskan cadangan laksanakan RTB Sungai Petani, walaupun dalam RMK12, tak dimasukkan, saya akan usahakan untuk masukkan bajet RTB Sungai Petani," katanya ketika meninjau lokasi banjir di Kampung Raja Wat Siam hari ini.


Banjir kilat di dua buah mukim di daerah Kuala Muda petang semalam dipercayai berpunca daripada masalah perparitan selain air pasang besar sehingga menyebabkan 144 mangsa daripada 32 buah keluarga berpindah ke tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS).


Menurutnya, antara PPS yang dibuka ialah di Masjid Al-Abrar Taman Peruda yang menempatkan 43 mangsa dari 10 keluarga, PPS Surau Kampung Haji Wahab yang menempatkan 38 mangsa dari 10 keluarga dan Dewan Masjid Al-Huda Kampung Jerung yang menempatkan 63 mangsa dari 12 keluarga.


"Hujan lebat berterusan bermula sekitar jam 3 petang sehingga lewat malam tadi menyebabkan air bertakung menyebabkan banjir di beberapa buah kampung dan taman perumahan berdekatan terjejas," katanya.


Menurutnya, banjir yang berlaku khususnya di Mukim Sungai Petani telah surut sepenuhnya sekitar jam 7 pagi tadi dan PPS di tiga lokasi juga telah ditutup jam 2 petang tadi dan semua jalan yang terjejas sejak malam tadi telah dibuka sepenuhnya hari ini," katanya.


Sumber: Sinar Harian


14 views
bottom of page