top of page

Cadangan benarkan pekerja PATI bantu kontraktor terjejas


AZMAN Yusoff. - Foto/NSTP

KUALA LUMPUR: Ramai kontraktor tempatan kini berdepan kesulitan untuk mendapatkan tenaga kerja berikutan sekatan kemasukan pekerja asing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), ketika ini.


Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff, berpendapat cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan pekerja asing tanpa izin (PATI) yang kini ditahan di depoh tahanan Imigresen dibenar bekerja dianggap jalan penyelesaian membantu kontraktor berdepan kesulitan ini.


Katanya, cadangan ini baik pada masa ini terutama bagi sektor pembinaan masih memerlukan jumlah tenaga kerja asing yang ramai.


"Ketika sekatan kemasukan pekerja asing ke negara ini masih diteruskan kerajaan sehingga kini, banyak syarikat dan kontraktor pembinaan mengalami kesulitan mendapatkan pekerja.

"Kekurangan ini mengakibatkan syarikat berdepan permintaan untuk kenaikan kadar upah daripada pekerja sedia ada.


"Akhirnya, syarikat terpaksa menanggung kos upah tinggi. Ditambah impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik COVID-19 sebelum ini, ramai kontraktor kini berdepan masalah kewangan yang meruncing dan membimbangkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau mengulas laporan BH sebelum ini memetik cadangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin membenarkan PATI ditahan di depoh Imigresen dibenar bekerja bagi mengurangkan kos pengurusan kerajaan di depoh.


Azman berkata, PKPB percaya, dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat dilaksana oleh majikan dan pemantauan berterusan pihak berkuasa, PATI ini boleh dikawal pergerakannya terutama selepas dokumentasi diri mereka direkodkan dan dimasukkan dalam pangkalan data kerajaan.


Malah, pihaknya yakin Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) juga boleh memainkan peranan penting menerusi penyediaan prasarana di pusat Penempatan Pekerja Berpusat (CLQ) milik Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB), yang memudahkan PATI ini dipantau.


"PKBM memerlukan lebih 1,000 pekerja ketika ini untuk mengisi kekosongan pekerja tanpa menidakkan hak pekerja tempatan.


"Kami percaya, dengan perancangan strategik yang kemas dan tersusun dibuat mulai sekarang, Malaysia boleh untuk tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pekerja warga asing dalam tempoh dua tahun," katanya.


Ini katanya, menerusi usaha pengupayaan penggunaan sistem binaan berindustri (IBS) yang sudah pun mula dilaksana dan mendapat tempat dalam industri pembinaan ketika ini.


IBS adalah sistem terbaik yang dapat mengurangkan kebergantungan majikan kepada pekerja asing.


"PKBM menyokong sebarang usaha untuk meningkatkan penggunaan sistem IBS bagi semua sektor pembinaan di negara ini," katanya.



108 views
bottom of page