top of page

Cadang 2 kaedah sambung LPT3 ke Kelantan


Gambar hiasan. - Foto NSTP

KOTA BHARU: Kerajaan negeri mencadangkan dua kaedah pelaksanaan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) bermula dari Gemuruh hingga ke Pengkalan Kubor.


EXCO Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor, berkata cadangan pertama ialah pelaksanaan jajaran LPT3 hingga ke kawasan Perindustrian Tok Bali sejauh 100 kilometer dengan anggaran kos RM3 bilion.


"Pada masa sama, kerja menaik taraf jalan FT482 dari Tok Bali ke Pasir Puteh sepanjang 15 kilometer membabitkan kos RM450 juta.


"Cadangan kedua pula adalah memberi pilihan kepada pelaksanaan projek secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) bagi keseluruhan jajaran, iaitu bermula dari Gemuruh, Terengganu ke Pengkalan Kubor, Kelantan sepanjang jalan 155 kilometer dengan anggaran kos RM4.34 bilion," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Abdul Aziz Derashid (BN-Kuala Balah) berhubung perkembangan terkini projek seperti LPT, CSR dan ECRL di Kelantan.


Mengulas lanjut, Azami berkata, perkembangan terkini bagi pelaksanaan kerja pembinaan LPT3 adalah pada peringkat kerja awalan, iaitu ukur dan penyediaan laporan awalan untuk keseluruhan jajaran dari Gemuruh ke Pengkalan Kubor.


Katanya, perkara itu dijangka siap pada April 2022 dengan peruntukan diluluskan sebanyak RM30 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).


Pada masa sama, katanya, bagi perkembangan Lebuh Raya Kota Bharu–Kuala Krai pula, terdapat dua projek dalam perancangan dan akan dimohon dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), iaitu Pakej 1A Wakaf Che Yeh ke Pasir Hor dan Lebuh Raya Rakyat, Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab.


"Terdapat dua projek dalam peringkat perolehan, iaitu Pakej 2C Kok Lanas ke Machang dan Pakej 3A Machang ke Bukit Tiu, manakala satu projek dalam peringkat pembinaan iaitu Pakej 2BL Ketereh ke Kok Lanas dijangka siap pada Ogos tahun depan.


"Dua projek sudah disiapkan, iaitu Pakej 1B Pasir Hor ke Kadok dan Pakej 2A Kadok ke Ketereh. Untuk status semasa Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) pula ialah enam projek dalam peringkat perancangan dan akan dipohon dalam RMK-12," katanya.



222 views
bottom of page