top of page

Bukan pembersihan tanah tapi pelaksanaan projek ECRL


Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)
Jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

Jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

SHAH ALAM – Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) mendapati dakwaan aktiviti pembukaan tanah dalam kawasan Taman Negeri Selangor, sebenarnya merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri itu.


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata JPNS telah mengeluarkan kebenaran melalui Permit Penggunaan untuk pelaksanaan projek berkenaan di kawasan hutan simpanan kekal pada Julai 2022.


Beliau menjelaskan, pelaksanaan ECRL umumnya telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 2 Sept 2021 dan dipersetujui Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) Ke-19 pada 21 Okt 2021.


Selain itu katanya, kerajaan Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 24 Nov 2021 juga bersetuju dengan Cadangan Pindaan Asal Jajaran Seksyen C meliputi kawasan dari Bentong-Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang.


Katanya, pelaksanaan ERCL di negeri tersebut disyaratkan untuk mematuhi segala peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh agensi-agensi teknikal berkaitan.


“Sebagai rekod, kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi Seksyen C2 (Gombak- Serendah-Pelabuhan Klang) diperoleh oleh pihak Malaysia Rail Link (MRL) pada 30 Nov 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjelaskan berkenaan dakwaan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mengenal pasti berlakunya aktiviti pembukaan dan pembersihan tanah yang melibatkan empat kawasan dalam Taman Negeri Selangor.


Hee berkata, kerajaan Selangor berpendirian bahawa projek ECRL tersebut wajar untuk dilaksanakan memandangkan ia akan menyumbang kepada kepentingan kesejahteraan masyarakat selain menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.


“Sehingga kini, pelaksanaan projek ECRL di kawasan Taman Negeri Selangor sentiasa dikawal supaya mematuhi peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya.




4 views
bottom of page