top of page

Boustead Heavy Industries rugi RM6.5 juta


Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC)
Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) -NSTP/Hairul Anuar Rahim

KUALA LUMPUR: Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) mencatatkan kerugian bersih RM6.5 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 berbanding kerugian bersih RM26.5 juta pada suku keempat tahun kewangan 2022.


Pendapatannya pada suku itu berjumlah RM6.4 juta terutama dijana daripada kontrak kapal selam dan aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) berkaitan pertahanan lain.


Ketua Pegawai Eksekutif BHIC, Feroz Razi Ramli, berkata pemberian kontrak berkaitan kapal selam oleh Kementerian Pertahanan kepada anak syarikat milik penuh BHIC, BHIC Submarine Engineering Services (BSES) adalah petanda baik untuk prospek kumpulan dan akan menyumbang secara positif kepada pendapatannya pada tahun kewangan semasa.


Beliau berkata, kontrak itu adalah untuk penyediaan Sokongan Perkhidmatan Interim (ISS) bagi tempoh 15 Mac 2023 hingga 14 Februari 2024 kepada Kapal Selam Kelas Perdana Menteri Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan penyelenggaraan kemudahan kapal selam TLDM dari 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023.


Katanya, kontrak itu masing-masing bernilai RM99.8 juta dan RM40.26 juta.


"Kumpulan akan memberi tumpuan untuk memenuhi komitmen kami bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada TLDM dan menyiapkan semua projek lain mengikut masa dan pada kos dalam menyumbang kepada pertahanan dan keselamatan negara," katanya dalam satu kenyataan.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boustead Holdings Bhd (BHB), Izaddeen Daud, berkata BHB kekal utuh menyokong BHIC untuk mencari kontrak baharu sambil meneroka peluang berdaya maju untuk mengukuhkan lagi prospeknya, khususnya dalam segmen komersial menuju ke depan.


Beliau berkata, dengan kemudahan yang mantap dan berpengalaman, BHIC akan terus membina momentum yang dijana oleh tumpuannya untuk menjadi organisasi yang mampan, berprestasi tinggi, selaras dengan Strategi Mencipta Semula Boustead.


Sumber: Berita Harian


11 views
bottom of page