top of page

Boss Aerosystem buka kemudahan pengeluaran industri aeroangkasa


KUALA LUMPUR: Malaysia menerima satu lagi syarikat aeroangkasa tempatan dengan pembukaan kemudahan pengeluaran Boss Aerosystem di Taman Industri Bukit Minyak, Pulau Pinang.


Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud, berkata adalah menjadi kebanggaan negara untuk memiliki Boss Aerosystem untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan antarabangsa.


“Kami berharap lebih banyak syarikat tempatan mencontohi Boss Aerosystem dan menjadi juara global.


“Peserta industri digalakkan untuk memanfaatkan kemudahan dan platform yang disediakan oleh kerajaan kerana Malaysia mempunyai semua ramuan yang tepat untuk membolehkan industri aeroangkasa berkembang,” katanya dalam satu kenyataan.


Aeroangkasa adalah industri yang pesat berkembang di Malaysia, apabila mencatatkan pertumbuhan purata lima peratus sejak 10 tahun lalu dan terus menjana pekerjaan berkemahiran tinggi di samping membangunkan ekosistem pembekal di negara ini.


Malaysia ketika ini menempatkan lebih daripada 230 syarikat, yang terbabit dalam penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuatan aero, pendidikan dan latihan, integrasi sistem serta kejuruteraan dan aktiviti mereka bentuk.


Negara ini juga telah membangunkan rantaian nilai tempatan yang kukuh, terdiri daripada peserta tempatan dan luar negara.


Di samping itu, Malaysia berusaha untuk terus membangunkan aktiviti MRO serta pembuatan alat ganti dan komponen bagi meningkatkan penembusan pasaran.


Azman berkata, MIDA terus meneroka peluang kerjasama antara peserta industri tempatan dan syarikat aeroangkasa antarabangsa melalui program ‘Hubungan Industri’.


“Program ‘Hubungan Industri’ pertama diadakan tahun lalu di Turki yang disertai oleh sembilan syarikat Malaysia. Tahun ini, sebagai kesinambungan kami merancang untuk mengatur tiga lagi program serupa,” katanya.


Inisiatif lain MIDA termasuklah Persidangan Rantaian Bekalan bersama syarikat-syarikat Tier 1 dan Tier 2.


Persidangan terkini dianjurkan oleh MIDA adalah bersama Rolls Royce pada Disember 2018.


Mengenai komunikasi akan datang, Azman berkata MIDA akan menyertai Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA ’19) dari 26 hingga 30 Mac ini.


“Kami akan menjadi sebahagian Malaysian Pavillion untuk mempromosikan inisiatif kerajaan membangunkan industri aeroangkasa, yang termasuk juga industri pembinaan dan baik pulih kapal (SBSR).


“Selain itu, MIDA akan mengadakan seminar mengenai industri aeroangkasa pada 27 Mac di LIMA. Saya mahu mempelawa semua peserta industri dan pihak berkepentingan menyertai kami di acara ini,” katanya.


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page