top of page

Bina benteng pemecah ombak tangani muara cetek Sungai Kuantan


Sungai Kuantan, Pahang
Kerajaan Pahang akan membelanjakan sekurang-kurangnya RM107 juta bagi membina benteng pemecah ombak bagi menangani masalah muara Sungai Kuantan yang cetek.

Sungai Kuantan, Pahang

KUANTAN – Kerajaan Pahang akan membelanjakan sekurang-kurangnya RM107 juta bagi membina benteng pemecah ombak bagi menangani masalah muara Sungai Kuantan yang cetek.


Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pembinaannya dijangka mengambil masa empat tahun.


Tambahnya, projek pembinaan tersebut bakal dilaksanakan bermula tahun depan mengikut jadual perancangan.


“Pembinaan ini merupakan langkah penyelesaian jangka panjang yang diambil selain beberapa perancangan lain. Jadi, hari ini kita juga membincangkan bagaimana keperluan untuk kerja-kerja mendalamkan muara sungai Kuantan mengikut cara yang disarankan oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS).


“Masalah muara sungai Kuantan cetek bukan sahaja memberi kesan kepada pendaratan ikan sebaliknya turut menjejaskan hasil kerajaan Pahang dengan nilai dianggarkan hampir RM100 juta setahun,” katanya.


Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Pemulihan Muara Sungai Kuantan di Kompleks Tun Razak (KOMTUR) hari ini.


Difahamkan, seramai 1,821 nelayan bot kecil terkesan susulan masalah muara Sungai Kuantan yang dikatakan cetek.


Fakharuddin berkata, dengan pembinaan benteng tersebut, ia dapat memberi memberi kesan positif kepada pembangunan industri perikanan dan pelancongan negeri ini.



2 views
bottom of page