top of page

BIM atasi masalah sektor pembinaan


Idea mendigitalkan segala maklumat berkaitan pembinaan telah lama wujud bagi mengurangkan pelbagai permasalahan dan tadbir urus yang dihadapi industri tersebut.


Antara cabaran yang sering dihadapi oleh industri pembinaan adalah berkaitan kos dan sehingga kini masalah tersebut masih membelenggu mereka.


Lebih buruk, terdapat sesetengah pihak yang gemar menangguk di air keruh dengan mengemukakan pelbagai tuntuan akibat kelewatan projek dilaksanakan, pengubahsuaian yang tidak sepatutnya, kesilapan pembinaan dan pelbagai lagi kerenah.


Dikenali sebagai Informasi Permodelan Bangunan (BIM), sistem tersebut dilihat antara penyelesaian terbaik bagi mengatasi pelbagai masalah yang sering dihadapi industri pembinaan konvensional.


Menurut Pengurus Kanan (Bahagian IT dan Pembinaan), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Mohd. Harris Mohd. Ismail, BIM merupakan pusat sehenti (one stop centre) bagi industri pembinaan.


“Segala maklumat yang berkaitan sesebuah pembinaan boleh didapati menerusinya.


“Sebelum ini, sesebuah projek pembinaan memerlukan beberapa pelan lukisan dua dimensi (2D) yang berlainan daripada pelbagai pihak yang terlibat seperti arkitek, jurutera pembinaan, konsultan dan agensi kerajaan yang terlibat.


“Maklumat-maklumat yang berterabur menjadikan perjalanan projek pembinaan menjadi kompleks, sukar dibaca dan banyak berlaku salah bina,” katanya.

Sebagai contoh, jurutera pembinaan hanya akan membina menerusi pelan yang diterima tanpa mengambil kira pelan kedudukan paip, saluran penyaman udara, kedudukan saluran pembentungan dan pelbagai lagi. Apabila bangunan telah dibina baharulah paip contohnya dipasang.


Keadaan akan menjadi rumit apabila kedudukan paip yang tidak sesuai dengan saiznya, bersilang pada kedudukan yang tidak tepat dan pelbagai lagi.


“Apabila menghadapi situasi tersebut, pembetulan akan dibuat dan lukisan baharu perlu dilakar, paip yang lebih tepat perlu ditempah menjadikan jangka masa pembinaan menjadi semakin panjang.


“Keadaan itu juga menyebabkan pembaziran apabila paip atau mana-mana bahagian bangunan yang tidak tepat perlu diubah dan dipecahkan dan dibina semula,” katanya.

Ujar Mohd. Harris menerusi BIM, segala masalah tersebut dapat dikenal pasti di peringkat awal lagi, seawal lukisan bangunan tersebut dimodelkan dalam bentuk tiga dimensi (3D).


Jika sebelum ini, semua pihak yang terlibat dalam pembinaan hanya akan merujuk kepada lukisan 2D semata-mata.


Menerusi pemodelan 3D yang dibangunkan daripada lukisan 2D, segala maklumat berkenaan sesebuah bangunan perlu lengkap baharu model tersebut dapat dibangunnkan.


Difahamkan, model 3D BIM yang dibangunkan menerusi digital adalah model sebenar bangunan yang akan dibina.


Oleh yang demikian, segenap penjuru bangunan dapat diteliti dalam bentuk model 3D sebelum dibangunkan.

Jika terdapat permasalahan seperti paip bersilang, saiz tidak tepat, kedudukan yang tidak sesuai, dinding yang tidak memenuhi spesifikasi, perkara demikian akan dibetulkan di dalam perisian permodelan tersebut.


Sehingga tiada lagi masalah yang timbul baharulah pembinaan akan dimulakan.


Oleh yang demikian, tiada lagi kejadian salah bina, kelewatan menunggu lukisan pembetulan, pembaziran bahan binaan dan kelewatan projek untuk disiapkan.


Di Malaysia, BIM telah diperkenalkan sejak tahun 2009 namun sistem tersebut tidak mendapat perhatian pihak industri kerana dilihat melecehkan mereka.


Malah, kos permulaan yang tinggi untuk mengaplikasikan perisian sistem tersebut buat kali pertama juga tidak menarik minat pihak industri mencubanya.


Untuk melaksanakan BIM, terdapat pelbagai aplikasi yang perlu dimahiri oleh semua pihak yang terlibat di dalam pembinaan.


Bagaimanapun aplikasi tersebut berharga agak mahal, mencecah puluhan ribu ringgit.


Selain itu pihak yang mahu menggunakannya perlu menambah baik peralatan berkaitan serta melatih tenaga kerja untuk mahir menggunakannya.


Bagaimanapun, sehingga kini sebanyak 40 projek telah dilaksanakan menggunakan sistem BIM dan antara bangunan terawal adalah pembinaan Institut Kanser Negara (NCI).


Untuk melaksanakan BIM, pihak industri bukan sahaja perlu menaik taraf kebanyakan perkara malah minda mereka juga.

Perkara itu turut disentuh oleh Ketua Pegawai Operasi, BIM Global Ventures Sdn. Bhd., Ir. Sharifah Azlina Raja Kamal yang melaksanakan perkhidmatan latihan dan konsultansi sistem tersebut.


Ujarnya, pihak industri perlu mengetahui kelebihan dan tujuan untuk melaksanakan BIM terlebih dahulu sebelum melaburkan sejumlah modal untuk mendapatkan perisian berkaitan.


“Mereka juga perlu mengenal pasti di peringkat mana keperluan kepada aplikasi di bawah BIM ini.


“Ini kerana, BIM hanyalah satu sistem atau panduan dan di dalamnya terdapat pelbagai perisian yang digunakan untuk menepati garis panduan sistem tersebut,” katanya.


Antara perisian yang biasa digunakan dalam BIM adalah seperti Revit, Tekla, Bentley, Cost-X dan Naviswork.


Kesemua perisian tersebut boleh dipilih bergantung kepada fungsi, ketepatan, kegunaan, kemudahan untuk menerima pelbagai format data dan pelbagai lagi.


BIM bukan sebuah perisian sebaliknya adalah sebuah sistem garis panduan yang akan memudahkan perjalanan pembinaan bangunan atau sesebuah projek.

“Terdapat lima faktor utama yang perlu ditekankan dalam perlaksanaan projek pertama, siap dalam tempoh yang ditetapkan, dalam kos, kualiti yang baik, keselamatan dan bangunan yang mampan,” katanya.


BIM juga dilihat dapat memperbaiki proses pembinaan di peringkat akhir oleh kontraktors, meningkatkan kefahaman pemilik dalam penyelesaian reka bentuk serta memperbaiki kualiti dan fungsi juga pada reka bentuk terakhir oleh jurutera.


Selain itu, sistem itu juga dapat menyediakan dokumen pembinaan yang lebih baik serta mampu memperbaiki kebolehan untuk merancang peringkat pembinaan dan logistik dengan lebih baik.


Sebagai sebuah syarikat perunding, Sharifah Azlina merasakan BIM berpotensi untuk berkembang dengan baik dan mula melabur untuk membina kemudahan seperti pusat latihan bagi pihak industri yang berminat.


Biarpun Malaysia masih baharu dengan sistem tersebut, syarikatnya telah terlibat dengan pelbagai projek di luar negara seperti Lapangan Terbang Antarabangsa, Abu Dhabi, Sky Vertica, India dan juga Hotel Yas Marina juga di Abu Dhabi.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Brunsfield Corporation Sdn. Bhd., Mohamad Hassan Zakaria berkata, untuk terus kekal relevan di dalam industri pembinaan di dalam mahupun luar negara, BIM merupakan antara sistem ideal yang perlu dipraktikkan.


Merupakan antara syarikat pelopor dalam penggunaan sistem tersebut, Brunfields telah mula mempraktikkan BIM sejak 2005 lagi.


Ujarnya, penglibatan syarikat tersebut dalam projek di peringkat antarabangsa menyebabkan mereka lebih awal terdedah dengan sistem dan teknologi tersebut.


“Kini kami mewajibkan semua projek yang dibina mesti menerusi BIM, amalan tersebut bukan arahan daripada sesiapa tetapi setelah melaksanakannya kami telah melihat keberkesanan sistem tersebut.

“Menerusinya (BIM) memudahkan kami mengenal pasti risiko berkaitan projek, membolehkan syarikat mengaplikasikan BIPD (Bodily Injury and Property Damage) secara lebih holistik,” katanya.


Brunsfeild sehingga telah terlibat dengan pelbagai pembinaan seperti kondominium mewah dan Oasis Square (Oasis Piazza, Oasis Village, Oasis Suite, Oasis Tower dan pelbagai lagi ) di ibu negara.


Antara lain projek perumahan rakyat, Prima di Seremban Sentral, Negeri Sembilan, kuater kerajaan di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur dan pelbagai lagi bangunan dan infrastrukur berkaitan menerusi BIM.


Pun begitu, pengunaan sistem BIM oleh pemain-pemian utama industri pembinaan dalam negara amat kurang kerana kesedaran terhadap sistem tersebut sangat sedikit.


Jelas Mohamad Hassan, kerajaan menerusi agensi di bawahnya seperti CIDB perlu lebih banyak mempromosi kebaikan BIM di samping menyediakan insentif untuk mereka yang mengamalkannya.

“Bahkan institusi-institusi pengajian tinggi juga menyediakan pengetahuan serta kesedaran berkaitan BIM kepada pelajarnya di peringkat awal sehinggalah kepada kontraktor-kontraktor yang berada di bawah agensi seperti CIDB,” katanya.


Antara kelebihan terpenting adalah berpeluang bekerjasama dengan syarikat-syarikat pembinaan berkelas dunia.


Menceritakan semula bagaimana BIM berjaya membuka matanya adalah ketika dia melawat syarikat pembuatan kapal terbang terkemuka dunia iaitu The Boeing Company.


“Boeing (syarikat) membina pesawat berkelas dunia dengan merujuk kepada sistem ini (BIM).


“Apa yang betul-betul mengujakan saya adalah sistem tersebut membolehkan syarikat Boeing mengenal pasti setiap komponen dalam proses pembinaan pesawat dengan begitu terperinci,” katanya.


Oleh yang demikian terlintas dalam fikiran beliau bahawa sistem yang sama juga boleh diaplikasikan dalam sektor pembinaan bangunan atau apa jua struktur binaan.

BIM katanya, tidak terhad kepada pembinaan bangunan sahaja malah boleh diaplikasikan dalam apa juga struktur binaan seperti prasarana untuk kegunaan orang ramai.


Bagi memastikan BIM terus berkembang, pelbagai pihak perlu memainkan peranan masing-masing seperti universti tempatan perlu memastikan pensyarah dan pelajar dalam bidang kejuruteraan mahir untuk membaca lukisan pelan dalam bentuk 3D.


Syarikat konsultansi tempatan juga perlu menyedia dan menghasilkan lukisan pembinaan juga di dalam bentuk 3D di samping perisian yang digunakan juga perlu lebih mampu milik kepada semua kontraktor dan pemaju hartanah.


Terakhir, kesemua pemain utama dalam industri pembinaan juga perlu bersifat lebih terbuka dan menerima perkembangan teknologi dan kemajuan yang boleh membawa kepada kebaikan.

Oleh:

Asyriq Fahmy Ahmad asyriq.ahmad@hotmail.com

Artikel ini disiarkan pada : 23 November 2015 @ 1:52 PM



Temui pakar teknologi BIM Malaysia di Seminar Construction Evolution 2019 pada 2 Oktober 2019 di The Everly Hotel Putrajaya. Peluang untuk anda ketahui lebih lanjut berkaitan penggunaan teknologi BIM di dalam industri pembinaan. Dapatkan tiket anda di www.evolusibina.com/seminar



1,036 views
bottom of page