![](https://static.wixstatic.com/media/a0c008_a801a990b56149fc9e4e06b20d78da7f~mv2.png/v1/fill/w_907,h_572,al_c,q_90,enc_auto/a0c008_a801a990b56149fc9e4e06b20d78da7f~mv2.png)
Putrajaya: Sejumlah 64,400 liter minyak diesel bersubsidi disita dalam serbuan di sebuah stesen minyak bersebelahan tapak pembinaan di Jalan Pintasan Dengkil, di sini, petang semalam.
Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, serbuan bermula 9 pagi itu disertai sembilan anggota penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya hasil risikan sejak sebulan lalu.
Beliau berkata, ketika serbuan didapati sebuah lori diubahsuai sedang mengisi diesel bersubsidi di salah sebuah pam di stesen minyak itu.
"Hasil pemeriksaan mendapati diesel diisi ke dalam tangki diubahsuai pada lori itu yang disyaki disambungkan dan disalurkan terus ke sebuah tangki di kawasan tapak pembinaan berkenaan.
"Kami menyita 64,400 liter diesel daripada dua tangki terletak bawah tanah di stesen minyak itu serta sebuah lagi tangki di dalam kawasan tapak pembinaan itu.
"Sebuah lori berkapasiti empat tan, saluran paip getah, sebuah compressor, satu set dekoder kamera litar tertutup (CCTV), invois dan resit jualan berserta dokumen perniagaan turut disita bagi tujuan siasatan lanjut dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM178, 347.85," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azman berkata, minyak diesel itu disalurkan melalui saluran separa kekal bawah tanah yang menghubungkan antara tangki lori kepada sebuah tangki lain terletak di dalam kawasan tapak pembinaan itu.
Beliau berkata, dua lelaki tempatan berusia 35 tahun yang mengaku sebagai pengurus dan penyelia tapak pembinaan itu ditahan bagi membantu siasatan.
"Siasatan dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenalpasti rantaian pengedaran minyak diesel itu bermula dari stesen minyak ke tapak pembinaan seterusnya ke peringkat pembeli.
"Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3 juta," katanya.
Sumber: Harian Metro
Comments