top of page

Beri pengecualian, pengurangan duti – Rehda


Beri pengecualian, pengurangan duti – Rehda Utusan Malaysia www.utusan.com.my
KENAIKAN harga bahan binaan akan memberi tekanan kepada industri perumahan, seterusnya mendorong kenaikan harga rumah. - GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Kenaikan harga bahan binaan akan memberi tekanan kepada industri perumahan, seterusnya mendorong kenaikan harga rumah.


Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk NK Tong bagaimanapun berkata, kemungkinan untuk pemaju menghentikan projek perumahan disebabkan kenaikan harga bahan binaan itu adalah agak mustahil.


“Justeru, bagi mengatasi isu kenaikan harga itu, kami menyarankan kerajaan untuk memberi pengecualian atau pengurangan duti ke atas bahan-bahan binaan tertentu sehingga harga bahan berkenaan kembali stabil, serta memansuhkan cukai atau levi ke atas bahan- bahan tertentu yang diimport.


“Kerajaan juga perlu mengkaji semula atau mengurangkan caj-caj daripada syarikat utiliti dan pihak berkuasa tempatan yang tidak begitu relevan dalam sesetengah pembinaan, seperti penyediaan tanah untuk tujuan kemudahan-kemudahan awam atau sosial, jalan dan perparitan serta ruang terbuka.


“Selain itu, memansuhkan atau tidak memperkenalkan apa-apa caj baharu, syarat atau kenaikan caj sumbangan kerana pemaju sudah membina infrastruktur yang diperlukan dalam projek pembinaan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.


Jelas beliau, keseluruhan kos menjalankan perniagaan juga wajar dikurangkan supaya penjimatan itu boleh disalurkan kepada pembeli rumah dalam bentuk harga yang lebih murah.


“Kami menjangka kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) juga akan mengakibatkan kenaikan pembiayaan, walaupun secara amnya, ia tidak mungkin akan naik dengan mendadak atau terlalu tinggi.


“Disebabkan kenaikan OPR dan kadar inflasi yang semakin meninggi di serata dunia, perlu diingatkan bahawa rumah adalah satu pelaburan dengan nilai yang kian meningkat tahun demi tahun.


“Jadi, para pembeli yang berkemampuan digalakkan untuk membeli rumah sebagai satu pelaburan yang selamat dan menguntungkan dalam jangka masa panjang,” katanya.


Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) tanpa dan termasuk bar keluli bagi semua kategori bangunan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Julai 2022 telah meningkat antara 0.3 hingga 24.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.


Menurut Jabatan Perangkaan, bagi tempoh tersebut, indeks kos binaan di Semenanjung Malaysia meningkat 5.5 hingga 18.8 peratus, Sabah (0.3 hingga 15.5 peratus) manakala Sarawak (5.6 hingga 24.4 peratus).


Perbandingan bagi tempoh Julai 2021 dan Julai 2022 menunjukkan IKB dengan bar keluli meningkat bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.


Dalam pada itu, indeks harga seunit bahan binaan turut meningkat 5.3 peratus hingga 15.5 peratus bagi Julai 2022 berbanding setahun lepas.


Indeks harga bagi seunit besi dan keratan keluli serta logam telah meningkat masing-masing 15.8 peratus dan 13.5 peratus bagi tempoh tersebut.


Simen pula mencatatkan peningkatan sebanyak 11.7 peratus pada Julai 2022 pada RM20.99 bagi setiap 50 kilogram berbanding RM18.89 bagi setiap 50 kilogram pada Julai 2021.


Sumber: Utusan


6 views
bottom of page