Beri keutamaan projek tebatan banjir di Johor - PAMJ


Syed Hussien turut meminta pihak berkenaan untuk melihat kepada Singapura yang pesat membangun namun jarang berlaku kejadian banjir seperti di Johor. - Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Projek tebatan banjir dengan sokongan peruntukan dari Kerajaan Pusat hendaklah diberi keutamaan dengan memberi fokus kepada kawasan titik panas terutamanya di daerah yang kerap kali dilanda banjir saban tahun.


Presiden Persatuan Anak Melayu Johor, Wilayah Persekutuan dan Selangor (PAMJ), Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee berkata, semua sedia maklum yang pembangunan pesat di Johor beberapa tahun kebelakangan ini, menghendaki satu pelan pembangunan yang menyeluruh termasuk yang melibatkan sistem saliran.


"Kita berasa sedih dengan keadaan banjir yang terburuk berlaku di Johor beberapa hari ini terutama di daerah Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kulai.


"Di dalam konteks ini saya berharap Jabatan Pengairan dan Saliran Johor dapat memainkan peranannya bagi menasihati kerajaan negeri khususnya daripada aspek pelaksanaan projek tebatan banjir termasuk pelan mitigasi banjir secara amnya.


"Saya yakin JPS mempunyai kepakaran dan data kejadian banjir namun tidak banyak kita dengar projek tebatan banjir dilaksanakan di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.


Kejadian banjir di Johor semakin teruk dengan bandar Kota Tinggi pula mula ditenggelami air.


Tinjauan di lokasi mendapati sungai Kota Tinggi mula melimpah ke kawasan bandar, sejak pagi Ahad.


Dalam pada itu, Syed Hussien turut meminta pihak berkenaan untuk melihat kepada Singapura yang pesat membangun namun jarang berlaku kejadian banjir seperti di Johor.


"Persoalannya apakah yang mereka laksanakan yang kita tidak laksanakan?


"Kita menyeru pucuk pimpinan di Johor supaya memberhentikan pertelagahan politik dan menumpukan perhatian kepada hal-hal berkaitan kehidupan rakyat di dalam mengharungi COVID-19 yang semakin meningkat ditambah pula dengan masalah banjir yang menimpa mereka," ujarnya.


Sumber: Astro Awani

5 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.