Beri idea untuk reka bentuk persimpangan bertingkat


Antara reka bentuk yang dikemukakan dan ditunjukkan kepada penduduk pada sesi taklimat cadangan pembinaan Persimpangan Bertingkat di Jalan Meru kepada penduduk Bandar Bukit Raja, Klang bertempat di Dewan Hamzah, Majlis Perbandaran Klang(MPK) hari ini.

KLANG - Kerajaan Negeri Selangor memberi peluang kepada semua pihak untuk memberikan idea bagi mereka bentuk persimpangan bertingkat di Jalan Meru di sini sebagai penyelesaian masalah kesesakan lalu lintas.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Kim berkata, menerusi Majlis Perbandaran Klang (MPK), pihaknya sedia menerima lakaran reka bentuk persimpangan tersebut untuk dipertimbangkan.


Beliau berkata, persatuan-persatuan penduduk sekitar Bandar Bukit Raja di sini boleh melantik mana-mana konsultan untuk mereka bentuk lakaran dan memberi cadangan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).


"Persimpangan bertingkat ini perlu bagi memastikan masalah kesesakan lalu lintas di Jalan Meru dapat diatasi. Ketika ini masalah kesesakan amat teruk sekali dan keadaan itu dijangka bertambah buruk di masa akan datang.


"Pihak Sime Darby sebelum ini telah mengemukakan 14 reka bentuk persimpangan bertingkat dan tujuh reka bentuk telah terpilih. Bagaimanapun, sekiranya penduduk ada cadangan mereka sendiri, mereka boleh kemukakan dan ia akan dinilai oleh JKR," katanya pada sidang akhbar selepas taklimat cadangan pembinaan persimpangan bertingkat di Jalan Meru kepada penduduk Bandar Bukit Raja bertempat di Dewan Hamzah MPK hari ini.


Sementara itu, Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, pembinaan persimpangan bertingkat merupakan usaha MPK dan JKR untuk mengurangkan kesesakan di Jalan Meru disebabkan lampu isyarat secara berperingkat.


Beliau memberi contoh kawasan pembangunan Sime Darby Property iaitu di Bandar Bukit Raja di sini semakin berkembang dengan pembangunan baharu untuk 20 tahun akan datang.


"Cadangan pembinaannya berdasarkan kajian yang dilakukan mengambil kira pembangunan keseluruhan Klang Utara masa kini dan tempoh 35 tahun akan datang.


"Sebarang kesulitan berkaitan pembangunan ini sudah pasti terpaksa dilalui, namun MPK percaya kemampuan Sime Darby Property untuk memastikan projek ini siap dan mematuhi aspek keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.


"Pematuhan piawaian dan SOP ini akan terus dipantau bagi memastikan jaminan keselamatan pihak yang terlibat. Papan tanda trafik sementara juga akan diletakkan dalam memastikan pembinaan ini dapat dilaksanakan sebaiknya," katanya.


Sebelum ini, penduduk dan peniaga di Bukit Raja di sini mendakwa pembinaan jejambat yang menghubungkan Persiaran Sungai Keramat dan Persiaran Astana mengakibatkan kesesakan jalan raya terus di kawasan berkenaan.


Mereka turut mendakwa kesesakan di kawasan berkenaan tidak pernah berkesudahan dan aliran trafik juga tinggi terutama ketika waktu puncak.


Sumber: Sinar Harian


#evolusibina #JKR

98 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.