top of page

Belanjawan 2021: Projek di lima koridor wilayah ekonomi akan diteruskan



KUALA LUMPUR : Bagi merancakkan lagi pembangunan ekonomi wilayah, Menteri Kewangan mengumumkan projek-projek bagi lima koridor wilayah pembangunan ekonomi akan diteruskan pada 2021 dengan peruntukan bernilai RM780 juta.


Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pelan tersebut adalah di bawah Strategi 2: Agenda Pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang terkandung dalam Belanjawan 2021.


"Strategi kedua berkaitan dengan agenda pembangunan lima tahun negara di bawah RMK-12. Ini merupakan peringkat 6R terakhir iaitu Reform atau Menyusun Semula.


"Kerajaan akan memberi tumpuan kepada perbelanjaan pembangunan yang memberi manfaat besar kepada rakyat dan menyokong momentum pertumbuhan ekonomi," jelasnya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.


Berikut adalah projek lima koridor wilayah pembangunan ekonomi yang akan diteruskan pada 2021:

Pertama: Sistem Pengangkutan Bas Rapid Transit di 3 Laluan Berkapasiti Tinggi dan Pembinaan "Busway" di kawasan pembangunan IRDA


Kedua: Pembinaan Jambatan Palekbang ke Kota Bharu, Kelantan di bawah ECER


Ketiga: Pembinaan infrastruktur dan komponen projek Zon Pembangunan Khas di Yan dan Baling, Kedah di bawah NCER


Kempat: Projek Infrastruktur di Kawasan Perindustrian Samalaju, Sarawak di bawah SCORE


Kelima: Penyambungan Projek Pembesaran Pelabuhan Kontena Sapangar Bay, Sabah di bawah SDC


Selain itu, Tengku Zafrul berkata, galakan cukai sedia ada bagi Koridor Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Iskandar Malaysia dan Koridor Pembangunan Sabah dilanjutkan sehingga 2022.


"Peruntukan sebanyak RM150 juta juga disediakan bagi Projek Penyaluran Air Mentah dari Sungai Kesang dan Tasik Biru ke Empangan Jus, Melaka.


"Selanjutnya, KWSP akan meneruskan pembangunan Kwasa Damansara dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM50 bilion.


"Ia merangkumi pembangunan kawasan komersial, kediaman, infrastruktur sosial, hab inovasi dan perubatan. Lebih 100,000 peluang pekerjaan bakal dijana, manakala lebih 250,000 unit rumah termasuk 10,000 unit rumah mampu milik akan dibina," jelasnya.


Pada masa sama, Tengku Zafrul memaklumkan, bagi tahun 2021, Sabah dan Sarawak akan menerima peruntukan perbelanjaan pembangunan masing-masing sebanyak RM5.1 bilion dan RM4.5 bilion.


"Peruntukan ini antaranya untuk membina dan menaik taraf infrastruktur air, elektrik dan jalan raya, kemudahan kesihatan dan pendidikan," ujarnya.


Sumber: Astro Awani


35 views
bottom of page