top of page

Belanjawan 2020 perlu fokus pembangunan infrastruktur Sabah, Sarawak


SUNGAI BULOH: Kementerian Kerja Raya berharap peruntukan kementerian itu dinaikkan dalam Belanjawan 2020 bagi membolehkan pembangunan infrastruktur di seluruh negara dapat dipertingkatkan, terutama di Sabah dan Sarawak.


Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata permohonan itu sudah dikemukakan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dalam pertemuan minggu lalu dan beliau yakin ia mendapat pertimbangan sewajarnya.


“Sabah dan Sarawak memerlukan perhatian khusus kerana banyak lagi kemudahan infrastruktur serba kekurangan, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas melawat Penempatan Pekerja Berpusat (CLQ) milik Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB), anak syarikat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), di sini hari ini.


Bagaimanapun, Baru tidak mendedahkan jumlah peruntukan dimohon kementeriannya dalam Belanjawan 2020 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat, 11 Oktober ini.


Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir sebelum ini dilaporkan berkata, banyak projek pembangunan untuk Sabah dan Sarawak tidak dapat dilaksanakan disebabkan kekurangan peruntukan.


Dalam Belanjawan 2019, Kementerian Kerja Raya memperoleh peruntukan RM6.115 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di seluruh negara, berbanding RM3.763 bilion dalam belanjawan sebelumnya.


Mengulas mengenai kemudahan CLQ, Baru menjelaskan tujuh lagi pusat itu dirancang dibina dalam tempoh terdekat, termasuk di Batu Kawan, Pulau Pinang dan Putrajaya berikutan jumlah projek pembinaan yang banyak di lokasi berkenaan.


Katanya, tempat tinggal pekerja pembinaan itu juga dijangka dibina di Sabah dan Sarawak untuk keselesaan pekerja sektor itu di dua negeri berkenaan.


“CLQ di Sungai Buloh mampu menempatkan 5,151 pekerja pembinaan sejak tahun lalu hingga Julai lalu. Ini sejajar dengan hasrat kerajaan menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja di negara ini,” katanya.



12 views
bottom of page