KUALA LUMPUR: Perbelanjaan COVID-19 yang dijangka lebih rendah tahun depan membolehkan kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan yang lebih tinggi sebanyak RM80 bilion hingga RM85 bilion dalam Bajet 2023 berbanding peruntukan berjumlah RM75.6 bilion tahun ini.
Penganalisis HLIB Research, Jeremy Goh, berkata pihaknya menjangkakan peruntukan perbelanjaan COVID-19 dijangka lebih rendah sebanyak RM11 bilion berbanding peruntukan pada 2021/2022 sebanyak RM38 bilion/RM23 bilion.
"Penjimatan perbelanjaan dijangka daripada perbelanjaan COVID-19 yang lebih rendah tahun depan.
"Bagi menyokong pemulihan ekonomi, kami berpendapat kerajaan akan memperuntukkan jumlah perbelanjaan pembangunan yang lebih tinggi sebanyak RM80 bilion hingga RM85 bilion," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Mengenai pendapatan kerajaan, beliau menjangkakan ia akan meningkat 2.5 peratus pada 2023 walaupun dijangkakan tiada pengumuman cukai baharu.
Beliau berkata, pelaksanaan cukai besar seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Cukai Kemakmuran 2.0 mungkin tidak akan diumumkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
"Dengan pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini berbanding 28 Oktober pada mulanya, ini menunjukkan kemungkinan PRU-15 akan berlaku tidak lama lagi.
"Walaupun jangkaan adalah 'bajet pilihan raya', tahap (perbelanjaan) boleh dikekang oleh kekurangan kelonggaran fiskal berikutan pemberian subsidi yang tinggi dianggarkan mencecah RM78 bilion untuk 2022 di samping risiko kelembapan ekonomi," katanya.
HLIB Research menjangkakan defisit fiskal akan berada pada 5.0 peratus hingga 5.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding sasaran defisit fiskal bagi 2022 pada paras 6.0 peratus.
Ia menjangkakan jumlah bantuan tunai kepada B40 menerusi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) mengatasi peruntukan 2022 dan langkah merasionalisasi subsidi, terutamanya bahan api dijangka dilaksanakan pasca PRU-15.
Sementara itu, Goh berkata, dari perspektif pasaran, HLIB Research menjangkakan Bajet 2023 tidak akan mengandungi sebarang kejutan besar atau pengumuman besar.
Secara umumnya, beliau berkata bantuan tunai yang lebih tinggi adalah positif untuk sektor pengguna, manakala sektor pembinaan akan mendapat manfaat daripada perbelanjaan pembangunan lebih tinggi, walaupun projek mega baharu berkemungkinan tidak akan diperkenalkan dengan tumpuan terarah kepada kerja-kerja infrastruktur asas bersaiz kecil hingga sederhana.
"Inisiatif bagi sektor hartanah berkemungkinan akan disasarkan kepada kumpulan pembeli B40 dan M40 seperti pengecualian cukai untuk pembeli rumah kali pertama, sambil tidak menolak satu lagi Kempen Pemilikan Rumah (HOC).
"Lanjutan manfaat untuk pembeli kenderaan elektrik (EV) juga dilihat mungkin ada," katanya.
Bajet 2023 dijadual akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Jumaat ini
Sumber: Berita Harian
Comments