top of page

Beberapa sekolah di Sarawak ditambah baik


Radzi berkata SK Bakong akan dibina di tapak baharu. - Foto facebook

KUALA LUMPUR: Penambahbaikan kemudahan di beberapa sekolah di Simanggang, Sarawak sedang giat dilakukan, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.


Menerusi laman sosial, Radzi berkata, dalam tinjauannya di sekitar kawasan itu, beberapa penambahbaikan dikenal pasti membabitkan dua sekolah menengah, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang dan SMK Balai Ringin, serta Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong.


"Dalam aspek penambahbaikan fasiliti SMK Simanggang, penyerahan satu blok pejabat yang baharu akan dibuat dalam masa terdekat.


"Selain itu, dewan sekolah yang berusia hampir 50 tahun akan diusahakan bagi penggantian bumbung dan pendawaian semula.


"Pembinaan blok asrama baharu SMK Balai Ringin pula sedang giat dilaksanakan dan kemudahan ini pasti akan memberi lebih keselesaan kepada pelajar asrama," katanya.


Beliau berkata, SMK Simanggang ialah sekolah asrama harian yang mempunyai 1,047 pelajar dengan 98 daripadanya pelajar Tingkatan Enam semester dua dan 161 pelajar Tingkatan Lima serta tujuh pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi yang hadir ke sekolah bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka.


Menurutnya, SMK Balai Ringin mempunyai 1,494 pelajar dengan 36 daripadanya pelajar Tingkatan Enam semester dua dan 267 pelajar Tingkatan Lima yang memulakan sesi PdP secara bersemuka sejak awal Oktober lalu.


"Terima kasih pengetua dan guru SMK Simanggang dan SMK Balai Ringin. Kami akan usahakan yang terbaik bagi menyediakan kemudahan di sekolah, terutamanya di kawasan luar bandar agar anak-anak kita dapat belajar dalam keadaan selamat dan selesa," katanya.


Sementara itu, ketika meninjau SK Bakong yang juga sekolah asrama harian, Radzi berkata, projek pembinaan gantian penuh membabitkan bilik darjah, asrama dan rumah guru sudah diluluskan, dengan lokasi baharu sekolah terletak kira-kira dua kilometer dari tapak asal.


Katanya, beberapa kemudahan lain seperti kipas yang rosak akan digantikan dengan segera bagi membolehkan murid di sekolah itu dan yang tinggal di asrama dapat belajar dengan lebih selesa.


Beliau berkata pelaksanaan projek di sekolah berusia lebih 60 tahun itu akan disegerakan agar warga SK Bakong yang mempunyai 146 murid dapat menggunakan sekolah baharu yang lebih selesa secepat mungkin. – BERNAMA


Sumber: Berita Harian

2 views
bottom of page