top of page

BDB laksana enam projek dengan GDV RM1.5 bilion


BDB laksana enam projek dengan GDV RM1.5 bilion
Gambar hiasan: Bina Darulaman Berhad (BDB)

BDB laksana enam projek dengan GDV RM1.5 bilion

ALOR SETAR: Bina Darulaman Berhad (BDB) komited untuk melaksanakan enam projek utama dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM1.5 bilion sekali gus memacu pertumbuhan dan pembangunan lestari negeri ini.


Pengerusi BDB, Sr. Che Had Dhali berkata, sebahagian projek berkenaan juga melibatkan pembangunan perbandaran dan perumahan mampu milik di Darulaman Lagenda, Sungai Petani dan Darulaman Saujana, Kubang Pasu serta Aman Nusa, Langkawi.


“Ketiga-ketiga projek berkenaan memiliki GDV berjumlah RM1.3 bilion sekali gus serta bakal memberi manfaat kepada sebahagian rakyat yang tinggal di Sungai Petani, Kubang Pasu dan Langkawi.


“Selain itu, BDB Infra Sdn. Bhd. (BISB) yang merupakan anak syarikat milik penuh BDB turut mendapat kepercayaan daripada kerajaan negeri apabila dianugerahkan kontrak penyelenggaraan jalan-jalan negeri bernilai RM204 juta melibatkan zon 1 iaitu Kota Setar, Padang Terap/Pokok Sena, Kubang Pasu, Pendang, Yan dan Sik.


“BISB juga berjaya dalam bidaan projek Sistem Pengairan Tersier dengan nilai kontrak berjumlah RM34.08 juta serta pengambil alihan Kuari Gemi Puncak, Langkawi dengan nilai RM13 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan BDB Ke-28 di sini hari ini.


Jelasnya, projek-projek berkenaan akan membantu meningkatkan lagi taraf kehidupan penduduk-penduduk di Kedah serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kawasan tersebut.


Mengulas lanjut, katanya, BDB turut mencatatkan prestasi yang memberangsangkan bagi Prestasi Kewangan berakhir 31 Disember 2022 dimana mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM9 juta pada 2022 dengan peningkatan daripada RM7.8 juta pada 2021.


“Pendapatan juga turut meningkat dari RM201.7 juta pada 2021 kepada RM231.4 juta pada tahun 2022 sekali gus turut meningkatkan rizab tunai juga RM66.3 juta kepada RM79.9 juta untuk tempoh yang sama,” jelasnya.


Tambah Che Had, prestasi memberangsangkan itu menunjukkan peningkatan keseluruhan atas usaha dan inisiatif BDB pada 2022 apabila pendapatan dan keuntungan sebelum cukai meningkat dan margin keuntungan sebelum cukai juga semakin baik.


“Rizab tunai meningkat menunjukkan bahawa BDB mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh,” jelasnya.


Dalam perkembangan lain, menurut Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman, projek Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang di Kubang Pasu yang dinaik taraf dijangka siap mengikut jadual pada tahun depan.


Sumber: Utusan


BDB laksana enam projek dengan GDV RM1.5 bilion

bottom of page