LABUAN: Bayaran segera perlu dibuat kepada pemaju dan kontraktor sebaik kerja pembinaan projek kerajaan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dilaksanakan mereka diperakui siap.
Ketua Pengarah JKR, Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman, berkata langkah itu bagi membantu kontraktor dan pemaju yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selain penting dalam usaha merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara.
"Sebaik projek sudah diperakui siap, bayaran perlu dipercepatkan bagi membantu kontraktor dan pemaju terus kekal dalam perniagaan dan juga menangani isu kelewatan projek. Dalam jangka panjang, ia akan membantu menjana semula pertumbuhan ekonomi kita.
"Usaha menyegerakan bayaran kepada pemaju dan kontraktor juga dapat mendorong syarikat lain mempercepatkan kerja pembinaan mengikut jadual ditetapkan supaya mendapat bayaran lebih awal," katanya ketika melawat projek pembinaan Jalan Pesisir Pantai Labuan, di sini semalam.
Projek bernilai RM132 juta membabitkan panjang 5.1 kilometer dari Membedai ke Tanjung Aru itu kini mencapai 98.7 peratus siap membabitkan pembinaan jalan baharu satu lorong dua hala sepanjang empat kilometer dan 1.1 kilometer jalan sedia ada yang dinaik taraf.
Jalan Pesisir Pantai Labuan yang mula dibina pada Disember 2017 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) akan menjadi laluan alternatif menghubungkan kawasan utara Pulau Labuan ke bandar ini.
Sekurang-kurangnya 35 peratus pengguna jalan raya khususnya dari Kampung Lubuk Temiang, Ganggarak, Tanjung Aru, Kerupang dan Nagalang bakal menerima manfaat daripada pelaksanaan projek terbabit.
Sumber: Berita Harian
Comments