top of page

Battersea Power Station raih jualan kediaman RM2.6 bilion


Bangunan Battersea Power Station
Bangunan ikonik Battersea Power Station. - NSTP/KAMARULZAIDI KAMIS

Bangunan Battersea Power Station

KUALA LUMPUR: Battersea Power Station mencatatkan jualan kediaman berjumlah £480 juta (RM2.6 bilion) pada 2022 dengan nilai hartanah siap dibina £1.1 bilion (RM5.86 bilion).


Projek ikonik itu dimiliki konsortium pelabur Malaysia iaitu pemaju hartanah, SP Setia Bhd (40 peratus), Sime Darby Property Bhd (40 peratus) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (20 peratus).


Tahun 2022 juga adalah tahun penting bagi projek ikonik itu dengan pembukaan awam mercu tanda tersenarai Gred II* Power Station dan Electric Boulevard, laluan baharu untuk pejalan kaki pada 14 Oktober 2022 dengan lebih tiga juta pelawat mengunjunginya sejak ia dibuka.


Battersea Power Station juga telah menyiapkan pangsapuri kediaman, Prospect Place, yang menjadi satu-satunya bangunan kediaman di United Kingdom (UK) direka oleh arkitek terkemuka dunia, Frank Gehry.


Hartanah siap lain di situ termasuk Battersea Roof Gardens yang direka oleh arkitek diiktiraf antarabangsa, Foster + Partners.


Ketua Pegawai Eksekutif Battersea Power Station Development Company, Simon Murphy, berkata pihaknya berbangga kerana telah mencapai hampir setengah bilion pound jualan kediaman baharu pada 2022.


Beliau berkata, pihaknya juga telah mencapai lebih satu bilion pound hartanah siap, sekali gus menjadikan kawasan ikonik itu tempat tinggal yang menarik.


Katanya, tahun 2022 adalah tahun sejarah dengan pembukaan mercu tanda ikonik London kepada orang ramai buat pertama kali dalam sejarah, serta laluan pejalan kaki baharu, Electric Boulevard.


"Dengan pembukaan Laluan Utara pada September 2021, kami telah mencapai dua daripada pencapaian paling penting untuk kawasan baharu ini.


"Hasilnya, kami menarik bilangan penduduk yang semakin meningkat untuk menyertai komuniti yang telah terbentuk," katanya dalam satu kenyataan.


Battersea Power Station adalah destinasi tumpuan baharu yang menempatkan kedai, restoran, bar dan tempat riadah.


Peringkat pertama jenama British dan antarabangsa yang dibuka di destinasi runcit dan riadah baharu itu termasuk Nike, Adidas, Reformation, Hackett, dan Sweaty Betty.


Sumber: Berita Harian


6 views

Commenti


bottom of page