top of page

Batal projek Taman Rimba Kiara: DBKL, tiga pihak dapat kebenaran merayu



PUTRAJAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan tiga pihak lain mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan projek pembinaan unit kediaman di Taman Rimba Kiara.


Tiga pihak lagi ialah Yayasan Wilayah Persekutuan, syarikat pemaju Memang Perkasa Sdn. Bhd. dan Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara.


Kebenaran merayu itu diberikan secara sebulat suara oleh panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed yang bersidang bersama Hakim Puan Sri Zaleha Yusof dan Hakim Datuk Rhodzariah Bujang.


Mahkamah membenarkan empat persoalan undang-undang antaranya termasuk isu hak di sisi undang-undang (locus standi) dan konflik kepentingan dihujahkan dalam rayuan yang akan ditetapkan pada satu tarikh lain.


Keempat-empatnya merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 27 Januari lalu yang membatalkan perintah pembangunan yang dikeluarkan oleh DBKL pada 1 Julai 2017 berkaitan projek pembinaan unit kediaman di Taman Rimba Kiara.


Mahkamah memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Persatuan Penduduk Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) atas alasan penduduk mempunyai hak di sisi undang-undang untuk mencabar keputusan DBKL ekoran hak mereka terjejas dengan cadangan pembangunan tersebut.


Mahkamah berpuas hati terdapat kesalahan prosedur dalam keputusan dicapai menyebabkan perintah pembangunan dikeluarkan DBKL itu dibatalkan kerana sesetengah penduduk tidak dimaklumkan.


Mahkamah Rayuan ketika itu memerintahkan DBKL membayar RM60,000 sebagai kos, manakala Yayasan Wilayah Persekutuan dan Memang Perkasa Sdn Bhd (MPSB) masing-masing sebanyak RM40,000.


Bagaimanapun, Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara tidak diperintahkan membayar sebarang kos.


Sehubungan itu, panel Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 November 2018 yang menolak semakan kehakiman oleh penduduk bagi membatalkan kebenaran perancangan bersyarat dan perintah pembangunan dikeluarkan DBKL.


Penduduk memfailkan semakan kehakiman pada 11 Ogos 2017 melalui badan pengurusan Trellises Apartment, Kiara Green Townhouse, Residence Condominium, TTDI Plaza Condominium, The Greens Condominium, selain Persatuan Penduduk TTDI serta empat penduduk dan pemilik rumah di TTDI.


Penduduk memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan DBKL berhubung cadangan pembangunan bercampur termasuk sebuah pangsapuri 29 tingkat membabitkan 350 unit mampu milik dan lapan blok pangsapuri perkhidmatan dengan lapan tingkat ruang parkir.


Mereka mendakwa tanah seluas 10.08 hektar di Taman Rimba Kiara adalah taman awam yang terletak antara TTDI dan Bukit Kiara serta kawasan hijau bagi Kuala Lumpur.


7 views
bottom of page