top of page

Baru tidak puas hati permukaan jalan Pan Borneo teruk



SIBU: Permukaan jalan di Lebuhraya Pan Borneo melalui Miri ke Sibu disifatkan tidak selamat berikutan laluannya banyak berlubang dan mengundang bahaya kepada pengguna terutama yang memandu pada waktu malam.


Menteri Kerja Raya, Baru Bian, menyatakan demikian ketika berkongsi pengalamannya memandu dari Miri ke Bintulu dan Bintulu ke Sibu pagi tadi.


Perkara itu dilakukan selepas menerima banyak rungutan daripada pengguna terutama membabitkan permukaan jalan yang teruk.


“Pagi tadi, saya melakukan pemeriksaan mengejut di kawasan laluan Lebuh Raya Pan Borneo yang dikatakan teruk. Saya sudah melalui laluan Selangau dan turut melalui pakej kerja dari Miri ke Sibu.

“Apa yang saya boleh katakan, saya tidak gembira (kualiti pembinaan jalan raya),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Menurutnya, terdapat terlalu banyak permukaan jalan berlubang yang meningkatkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.


“Saya mengambil berat berkenaan keselamatan pengguna jalan raya. Walaupun saya memahami cabaran yang dihadapi kontraktor, saya memberi amaran keras kepada pihak kontraktor supaya menyelesaikan perkara ini segera,” katanya.


Mengulas lanjut, Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau menegaskan kementeriannya akan melaksanakan pemantauan teliti dan tidak akan berkompromi sekiranya masalah berbangkit masih tidak diselesaikan pihak kontraktor.


Semalam, Kementerian Kerja Raya mengarahkan kerja di tapak pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, Pakej 11 (WPC-11) di Seksyen Pujut, Miri, Sarawak dihentikan serta-merta bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan untuk mengenal pasti punca kejadian rasuk jejambat runtuh yang turut menyebabkan dua pekerja cedera pada jam 2.40 petang kelmarin.



15 views
bottom of page