top of page

Baling hanya perlu 10 peratus bajet MRT, LRT


KUALA LUMPUR: Projek membangunkan kawasan sekitar Baling hanya memerlukan kira-kira 10 peratus daripada perbelanjaan kerajaan yang diperuntukkan untuk pelbagai projek raksasa seperti Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT).


Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, berkata pertimbangan peruntukan kecil sedemikian berupaya mengatasi masalah yang sangat serius dan menyayat hati dalam kalangan rakyat di daerah terbabit.


Sebagai langkah permulaan, katanya, kerajaan berupaya ‘menghidupkan’ semula pembinaan lebuh raya empat lorong dari Butterworth, Pulau Pinang ke Kulim dan Baling, Kedah yang memperoleh kelulusan pentadbiran terdahulu menerusi Rancangan Malaysia Ketujuh (RMKe-7).


“Itu fasa satu, manakala pelan pembinaan seterusnya ialah dari Grik melalui Jeli, Pasir Mas, Rantau Panjang, Kota Bahru sehingga ke Tumpat, Kelantan bagi membangunkan kawasan sempadan Malaysia-Thailand yang sangat ketinggalan dan menangani kemiskinan di sepanjang daerah berkaitan.


“Inisiatif ini turut dilaksanakan bagi mengatasi masalah keselamatan dan penyeludupan di seluruh kawasan perbatasan Kedah, Perak, Kelantan dan Thailand, namun projek berkenaan tidak diteruskan susulan krisis kewangan menimpa negara ketika itu.


“Bagaimanapun, sebagai langkah permulaan, sebahagian lebuh raya berkenaan iaitu Butterworth ke Taman Industri Hi-Tech Kulim sudah dibina secara penswastaan, manakala pengambilan tanah untuk fasa pembinaan dibuat terus menerus dari Kulim hingga ke kawasan Binjol, Tawar, Kuala Pegang, Kupang sehingga Baling.


“Saya juga difahamkan kebanyakan kerja penilaian untuk laluan berkenaan sudah dibuat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau mengulas laporan BH mengenai nasib penduduk Baling tidak banyak berubah sejak peristiwa Demonstrasi Baling 1974, malah majoriti mereka yang bekerja sebagai penoreh getah masih hidup di bawah paras kemiskinan.


Kehidupan bagi lebih 133,000 penduduk daerah yang terletak kira-kira 110 kilometer dari Alor Setar itu, masih boleh diibaratkan umpama ‘kais pagi makan pagi’, malah keadaan mereka lebih teruk setiap kali musim hujan.


Susulan laporan itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, pada 2 Mac lalu, berkata Baling antara daerah di Kedah yang bakal menyaksikan perubahan menerusi pelancaran program Desa Harapan, bulan depan.


Beliau dilaporkan berkata, setiap daerah mempunyai keunikan tersendiri yang berupaya digunakan sebagai penjana pendapatan, sekali gus berupaya mengubah keadaan kehidupan penduduk.


Sehubungan itu, katanya, antara gerak kerja awal akan dilaksanakan ialah menyiapkan profil kawasan di Baling bagi mengenal pasti teras ‘kekuatannya’, sama ada membabitkan industri pelancongan, perusahaan hiliran dan sebagainya.


Abdul Kadir berkata, sebagai anak kelahiran dan membesar di Baling, usaha pembangunan Taman Industri Kupang membabitkan kawasan ladang swasta yang turut dalam pengetahuan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah wajar diteruskan.


“Bagi mengatasi kemiskinan di Baling dan Sik, iaitu kawasan bersempadan, usaha terpenting ialah menangani masalah pengangguran penduduk khususnya golongan muda. Cadangan pembangunan lain ialah projek Taman Industri Memali.


“Ia boleh dibangunkan sebagai kawasan industri biasa atau hibrid iaitu bersama industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sekali gus berupaya merungkai isu pengangguran serius di sana.


“Tidak banyak pembangunan sejak tragedi Memali sehingga sekarang. Walaupun banyak teori mengenai puncanya, ia lebih menjurus kepada tekanan kemiskinan keterlaluan,” katanya.


Abdul Kadir berkata, penduduk di bandar tidak dibelenggu kemiskinan, namun sering dihujani perbelanjaan berbilion ringgit untuk membangunkan MRT, LRT dan pelbagai kemudahan di Lembah Klang.


Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu memberi keadilan kepada penduduk luar bandar menerusi pelaksanaan projek berkaitan bagi mengatasi masalah keselamatan, penyeludup, kemiskinan dan perdagangan manusia yang menjadi mimpi ngeri rakyat keseluruhannya.


“Peristiwa mogok lapar di Baling memalukan kita, sama seperti tragedi Memali yang seharusnya menjadi kekesalan kepada negara sehingga bila-bila. Jadi, pastikan pengorbanan nyawa dan perjuangan rakyat miskin bagi kedua-dua insiden berkenaan tidak sia-sia,” katanya.


Sumber: Berita Harian


19 views
bottom of page