top of page

Baiki sekolah daif: Kerajaan Terengganu tak salah


KERAJAAN Negeri Terengganu tidak terbabit dalam pelaksanaan projek baik pulih bangunan sekolah daif.


Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) negeri, Senator Datuk Razali Idris berkata, Unit Pembangunan Jabatan Pendidikan negeri lewat mengemukakan laporan kerosakan menyebabkan kerja membaik pulih pelbagai kerosakan sekolah daif termasuk bilik darjah tidak dapat dilaksanakan.


Katanya, melalui pembentangan Bajet 2019, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diperuntukkan lebih RM960 juta untuk projek pembangunan membaik pulih sekolah daif di seluruh negara tahun ini.


“Warga pendidik dan seluruh ibu bapa tidak seharusnya menuding jari menyalahkan kerajaan negeri kerana kegagalan melaksanakan kerja membaik pulih pelbagai kerosakan dialami sekolah.


“Kerajaan negeri tidak terbabit secara langsung dalam isu projek baik pulih bangunan yang dikategorikan sebagai sekolah daif di negeri ini,” katanya.


Razali berkata demikian ketika mengulas hasil pertemuannya dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengenai kerja membaik pulih sekolah daif di negeri itu.


Berikutan kelewatan membaik pulih kerosakan bangunan sekolah, pelbagai pihak menuding jari menyalahkan termasuk mendakwa kerajaan negeri enggan memberi kelulusan.


Razali berkata, kerajaan negeri hanya terbabit dalam soal kelulusan tapak jika terdapat sekolah baharu akan dibina, tetapi tidak terbabit dalam soal membaik pulih kerosakan.


Katanya, Maszlee sendiri terkejut apabila dimaklumkan beberapa projek membaik pulih bangunan sekolah daif di negeri ini belum dilakukan walaupun beliau sendiri sudah meluluskan peruntukan ketika mengadakan beberapa siri lawatan ke negeri ini.


“Unit Pembangunan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu perlu segera menyiapkan laporan termasuk peruntukan keseluruhan diperlukan untuk kerja membaik pulih kerosakan bangunan sekolah untuk dikemukakan bagi pengesahan oleh JKR,” katanya.


Sumber: Harian Metro


15 views
bottom of page