top of page

Bagusnya andai ada kuasa, timbang rasa


Gambar hiasan

Oleh: Norhayati Yahaya


KUASA. Dengan kuasa, sebuah projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sebelum ini ditangguhkan, boleh disambung semula. Lebih menarik, penyambung­an itu turut mengurangkan kos pembinaan serta me­ngubah laluan perkhidmatan yang bakal disediakan.


Itu yang penulis lihat me­ngenai besarnya pengaruh kuasa sehingga terlintas di fikiran, alangkah bagusnya jika ada orang berkuasa tinggal di kawasan kejiranan penulis di Taman Kayu Ara Indah, Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor pada masa ini.


Sekadar perkongsian, penulis tinggal di kawasan perumahan yang dimajukan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan terletak di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Kawasan kediaman di sini adalah di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Se­langor (LPHS).

Kawasan kediaman kami terletak di tengah-tengah kawasan yang boleh diibaratkan sebagai segi tiga emas apabila ia menjadi laluan alternatif buat pengguna jalan raya dari arah Bandar Utama ke Damansara Utama atau Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.


Beberapa minggu lalu, kami dikejutkan dengan jajaran projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) iaitu projek mega sepanjang 37 kilometer dari Bandar Utama, Petaling Jaya hingga ke Johan Setia, Klang.


Projek itu menelan kos RM16.63 bilion iaitu dikurangkan daripada RM31.65 bilion sebelum ini. Ia merupakan projek kerajaan yang dikatakan mampu memberi faedah kepada orang ramai.


Bagaimanapun, ia dilihat memberi kesan buruk buat penduduk di kawasan perumahan ini.


Pembinaan projek itu memang diketahui semua penduduk apabila melihat ramai orang luar dan jentera berat keluar masuk. Jika sebelum ini, kami tertanya-tanya dimanakah tiang-tiang gergasi itu akan diletakkan, tetapi sejak beberapa minggu lalu baru kami ketahui lokasi sebenar termasuk jajarannya.


Di Jalan 1 yang melibatkan 19 buah kediaman, jarak tiang dibina dipercayai hanya 1 meter dari belakang pintu rumah penduduk. Ia turut memberi kesan kepada 96 lagi rumah lain bermula dari Lorong 7A sehingga ke 5A dengan tiga daripada kediaman itu terletak pada kedudukan kira-kira 11 meter. Perkara itu benar-benar meresahkan penduduk terutama pemilik yang tinggal dalam jarak yang boleh diibaratkan sebagai terlalu hampir dengan kawasan pembinaan dan laluan LRT3 itu.


Apa yang perlu ditanggung oleh penduduk adalah kesan sepanjang hayat apabila ia mula dibina pada tahun 2020 sehinggalah projek itu ber­operasi kelak.


Keadaan menjadi lebih buruk apabila pihak yang sepatutnya memaklumkan segala perkembangan kepada penduduk, dilihat seolah-olah lepas tangan sehingga segala maklumat mengenai bantahan awal jajaran berkenaan tidak dimaklumkan. Natijahnya, suara dan hak kami selaku pemilik kediaman ‘disenyapkan’ sehinggalah akhirnya satu pertemuan diatur antara penduduk dengan wakil kontraktor projek berkenaan, MRCB-George Kent (MRCB-GK).


Namun, seperti dimaklumkan oleh wakil tersebut, mereka hanya kontraktor yang dilantik Prasarana selaku Rakan Pelaksana Projek (PDP) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang kini dikenali sebagai APAD. Mereka hanya memaklumkan tidak boleh berbuat apa-apa dengan sebarang perubahan jajaran kerana akan memberi kesan pada kos pembinaan.

Bagi penulis, apabila semua pihak bermula daripada ketua kampung, wakil rakyat sehinggalah pihak pemilik projek itu sendiri sudah maklumkan mereka tidak boleh buat apa-apa, jadi untuk apa lagi penduduk di kawasan perumahan ini dipanggil menghadiri segala jenis mesyuarat.


Hakikatnya, ia tidak boleh me­ngubah apa-apa.


Alangkah bagusnya jika wujud orang yang mempu­nyai kuasa serta mempunyai timbang rasa.


Kami bukan minta projek itu dihentikan tetapi mohon perikemanusiaan supaya tiang-tiang gergasi laluan LRT itu dianjakkan ke kawasan seberang su­ngai taman perumahan ini agar ia tidak terlalu hampir dengan kediaman kami. Berilah kami hak untuk hidup dalam suasana tenteram, apatah lagi kami juga perlu berdepan dengan segala kesan yang menyeksakan apabila ia beroperasi kelak. 


Sumber: Kosmo!


23 views
bottom of page