top of page

Bagi masa sebulan selesai masalah lif rosak



Kota Kinabalu: Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah I Datuk James Ratib meminta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) menyelesaikan segera masalah lif rosak di bangunan Wisma Pertanian Sabah yang berlarutan sejak sekian lama.


Beliau berkata, terdapat enam lif di bangunan lapan tingkat itu tetapi hanya satu sahaja berfungsi dan digunakan oleh 400 hingga 500 warga kerja kementerian selain orang ramai yang mempunyai urusan di bangunan itu.


"Saya difahamkan masalah lif ini berlaku sejak lebih tujuh tahun lepas. Hanya satu lif berfungsi namun kadang-kala juga turut mengalami masalah manakala enam lif rosak dan diarahkan tutup oleh pihak JKR.


"Ada kakitangan yang sakit dan mengandung terpaksa menggunakan tangga sehingga ke tingkat lapan...kita tidak mahu masalah ini membebankan warga kerja di sini," katanya dan menambah keadaan itu boleh menyebabkan imej kementerian terjejas sekiranya ada pelawat, khususnya pelabur luar yang datang ke pejabat kementerian itu.


James dalam kenyataan di sini, hari ini meminta JKR menyelesaikan masalah itu dalam tempoh sebulan sama ada membaiki atau mengganti baharu lif berkenaan.


"Berikutan penularan Covid-19, kita perlu mengelakkan kesesakan dan sangat tidak sesuai sekiranya hanya satu lif digunakan oleh ratusan orang dalam masa sehari, kita tidak mahu wujudnya kluster baharu di sini," katanya.


Sumber: Harian Metro


14 views
bottom of page