top of page

Badan siasatan, kehakiman kekal bebas - PM


Projek tebatan banjir
Gambar hiasan: Projek tebatan banjir

Projek tebatan banjir

Putrajaya: Semua badan siasatan penguatkuasaan dan kehakiman di negara ini kekal bebas dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa berdasarkan kepada laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta maklumat yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan yang diterajuinya.


Justeru, beliau berkata, adalah tidak bertanggungjawab bagi mana-mana tokoh parti politik pembangkang yang ketika ini dalam siasatan pihak berkuasa untuk membuat tohmahan terhadap pentadbirannya.


Katanya, Kerajaan Perpaduan tidak mengulangi sikap pentadbiran terdahulu yang dikatakan menekan pihak berkuasa terbabit.


"Kita tidak menggunakan badan ini. Yang berlaku ada dua hal, pertama ada laporan yang dibuat pada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM mengenai penggunaan wang oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).


"Kedua saya jalankan tugas saya di Kementerian Kewangan dan melihat projek yang menelan belanja terlalu tinggi tanpa proses tender.


"Kalau proses tender tidak dilakukan umpamanya dan kos itu tidak melambung itu tidak menjadi isu.


Kita bukan menghukum sesiapa," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.


Perdana Menteri berkata, antara projek yang diteliti termasuk Projek Jana Wibawa yang diluluskan ketika negara berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan projek tebatan banjir, yang didapati menelan belanja terlalu tinggi.


Pada November lalu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dilaporkan mendesak Menteri Alam Sekitar dan Air ketika itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menjawab mengenai tanggungjawabnya melantik Mangkubumi Sdn Bhd (Mangkubumi) sebagai kontraktor projek tebatan banjir Krubong-Durian Tunggal bernilai RM578.6 juta bawah program Jana Wibawa.


Perdana Menteri berkata, maklumat mengenai projek berkenaan didedah kepada SPRM namun siasatan dijalankan suruhanjaya itu tidak tertakluk kepada pandangannya.


Pada masa sama, Anwar berkata, pemimpin parti politik yang mempunyai lebih RM300 juta dalam akaun parti harus memberikan penjelasan kepada SPRM bagaimana ia boleh mengumpul dana sebanyak itu dalam masa yang singkat selain sumber ia diperolehi.


Beliau juga berharap pihak berkuasa terbabit bersikap lebih proaktif dan efisyen selain bertindak segera dalam menangani isu salah guna dan rasuah kerana paksi pentadbiran ketika ini adalah berasaskan tadbir urus baik serta mahu menyingkirkan elemen berkenaan.


Ditanya, mengenai desakan Datuk Dr Marzuki Mohamad iaitu bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk PKR dan DAP turut mendedahkan akaunnya, Anwar yang juga Presiden PKR menyatakan ia tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian.


Anwar berkata, arahan untuk siasatan terhadap akaun itu tidak terbatas kepada mana-mana parti politik sebaliknya juga terpakai untuk semua.


"BERSATU tidak dedahkan akaun (parti) tetapi ia didedahkan oleh penyiasat.


"Kalau SPRM dapat laporan dan siasat, saya tiada masalah dan akaun diaudit itu dihantar ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengikut jadual ditetapkan secara tahunan," katanya.


Sumber: Harian Metro

 
 
 

Comentarios


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page