KUALA LUMPUR: Syarikat pembinaan infrastruktur jalan raya utama yang berpangkalan di Sabah, Azam Jaya Bhd merancang untuk membuat bidaan bagi kerja tambahan di Lebuhraya Pan Borneo Sabah, kata Pengarah Eksekutifnya, Datuk Jonathan Lo Chaw Loong.
"Terutamanya di kawasan Sabah, kami menyedari bahawa fasa dua dan tiga projek ini akan dilaksanakan tidak lama lagi, dan kami bersedia untuk mengambil bahagian dalamnya," katanya pada sidang media sempena penyenaraian syarikat itu di Pasaran Utama Bursa Malaysia, hari ini.
Saham Azam Jaya hari ini mencatatkan prestasi yang kukuh apabila dibuka pada harga RM1, mewakili premium sebanyak 28.2 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 78 sen.
Chaw Loong berkata, syarikat merancang untuk mengurangkan pergantungan kepada kontraktor luar dengan mengendalikan lebih banyak projek menggunakan sumber dalaman mereka, terutamanya projek Lebuhraya Pan Borneo.
"Kami akan mengambil lebih banyak projek secara dalaman sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhannya.
"Kami sedang mengembangkan armada jentera pembinaan dan memanfaatkan teknologi terkini untuk meningkatkan produktiviti di tapak, memaksimumkan kecekapan, dan mengurangkan kos," katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Azam Jaya, Datuk Jessica Lo, menzahirkan keyakinannya terhadap potensi syarikat untuk berkembang di luar pasaran teras mereka di Sabah.
"Kami mempunyai rancangan, terutamanya membabitkan Kalimantan dan Sarawak. Pada masa ini, kami tidak menyasarkan Semenanjung Malaysia, kerana ia agak sesak dengan pesaing.
"Jika margin yang baik tersedia, kami pasti akan mempertimbangkannya. Memindahkan jentera kami ke sana (Kalimantan dan Sarawak) tidak akan terlalu rumit," katanya.
Beliau berkata, industri pembinaan di Sabah berada di ambang pertumbuhan yang pesat, terutamanya di kawasan-kawasan yang memerlukan pembangunan infrastruktur.
"Kami amat teruja dengan komitmen kerajaan persekutuan untuk memajukan pembangunan di Sabah, terutamanya melalui peruntukan Belanjawan 2025, di mana Sabah menerima peruntukan pembangunan tertinggi antara negeri-negeri," katanya.
Syarikat itu mengkhususkan diri dalam pembinaan infrastruktur jalan raya berskala besar, termasuk jalan, lebuh raya, jambatan, tembok dan terowong.
"Dengan pengalaman lebih daripada 30 tahun dalam industri, kami telah menyelesaikan lebih 50 projek dan menguasai sekitar 5.94 peratus pasaran.
"Kami mempunyai semua sijil yang diperlukan untuk menjalankan kebanyakan projek utama di Malaysia, termasuk Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (CIDB) serta kontraktor Kelas A dan Gred 7 dan sijil Bumiputera di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR)," kata Lo.
Sumber: Berita Harian
Commentaires