top of page

Aplikasi salur maklumat real time di lebuh raya


Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Aplikasi telefon pintar yang berfungsi menyalurkan maklumat kepada pengguna berkaitan situasi trafik di lebuh raya secara real time bakal dibangunkan menerusi kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan syarikat Prosignal Consortium Sdn. Bhd. (PCSB).


Dalam melaksanakan perkara tersebut, LLM menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan sistem pengurusan lebuh raya pintar yang berkonsepkan Smart Highway.


Pengerusi LLM, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, konsep Smart Highway ini akan melibatkan pembangunan aplikasi telefon pintar untuk operasi lebuh raya dan sistem pengurusan aset lebuh raya yang komprehensif dan sistematik bagi tujuan reka bentuk, pembinaan dan penyelenggaraan lebuh raya.


“Mengenai aplikasi telefon pintar, pengguna boleh mengetahui keadaan lalu lintas secara real time di mana jika berlaku kemalangan, kesesakan, tanah runtuh dan sebagainya, sekali gus boleh merancang perjalanan dengan menggunakan jalan alternatif lain.


“Apa yang penting aplikasi ini menunjukkan maklumat real time iaitu mereka akan dapat maklumat itu serta-merta,” katanya pada sidang akhbar MoU antara LLM dan PCSB di sini hari ini.


Beliau berkata, pengguna turut mendapat manfaat daripada penggunaan aplikasi tersebut antaranya e-wallet serta ciri-ciri tambahan lain seperti perkongsian kenderaan untuk kemudahan orang ramai.


“Sebelum ini hebahan kepada pengguna lebuh raya misalnya melalui Google selain media sosial Twitter serta maklumat di televisyen namun dengan aplikasi ini, ia lebih baik daripada yang ada sekarang kerana maklumat adalah secara real time,” ujarnya.


Katanya lagi, penggunaan teknologi Internet Of Thing (IOT) dalam pemantauan pembinaan, operasi dan penyelenggaraan aset lebih raya juga sudah pasti akan meningkat tahap efisiensi dalam memastikan pengurusan aset lebuh raya lebih teratur dan komprehensif.


Sumber: Kosmo!

7 views
bottom of page